199 Pelajar Kampung Segedup & Sungai Maong Terima Sumbangan Keperluan Sekolah
SATOK: Seramai 199 orang pelajar sekolah dari Kampung Segedup dan Kampung Sungai Maong menerima sumbangan barangan keperluan persekolahan menerusi Program Penyerahan Sumbangan Barangan Keperluan Pelajar Sekolah anjuran Kelab Sukan Komuniti (KSK) Satok.
Timbalan Menteri Utilitu dan Telekomunikasi (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki, berkata daripada jumlah tersebut, seramai 105 orang pelajar dari Kampung Segedup menerima sumbangan di perkarangan Masjid Darul Aqsa, Kampung Segedup, manakala 94 orang pelajar dari Kampung Sungai Maong menerima sumbangan di Dewan Futsal Kampung Sungai Maong.
Katanya lagi, usaha berterusan ini adalah untuk membantu meringankan beban ibu bapa, khususnya golongan B40 dan asnaf, selain menyemai semangat serta motivasi kepada pelajar untuk terus cemerlang dalam bidang pendidikan.
“Sumbangan yang disampaikan bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan keluarga, malah sebagai dorongan moral kepada pelajar agar terus bersemangat menuntut ilmu dan berusaha mencapai kejayaan sehingga ke peringkat tertinggi.
“Anak-anak inilah harapan ibu bapa, masyarakat dan pemimpin pada masa hadapan dan Kerajaan Sarawak menyediakan pelbagai peluang pendidikan termasuk sekolah berasrama, sekolah antarabangsa serta universiti bertaraf antarabangsa di negeri ini. Rebutlah peluang ini dengan belajar bersungguh-sungguh,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi KSK Satok, Ir Irwan Zulkarnain Dato Muhammad Hasbie berkata, program tersebut merupakan antara inisiatif tahunan KSK Satok yang telah dilaksanakan sejak tahun 2014 dengan objektif utama membantu pelajar mendapatkan kelengkapan asas persekolahan seperti beg, alat tulis dan peralatan pembelajaran.
Menurut beliau, agihan sumbangan tahun ini dimulakan di Kampung Segedup sebelum diteruskan ke Kampung Sungai Maong serta sekolah-sekolah terlibat dalam kawasan DUN Satok.
Di kesempatan itu, beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Ibrahim selaku penaja utama program serta atas sokongan berterusan terhadap pelbagai inisiatif pembangunan masyarakat, termasuk pelaksanaan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan penaiktarafan kemudahan sukan di kawasan Satok. -EDISI UKAS