Tinjauan Tapak Projek Jalan Kampung Tanjong Poting & Senibong Kenal Pasti Isu Keselamatan
BAU: Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep telah mengadakan lawatan ke tapak projek menaik taraf jalan di Kampung Tanjong Poting dan Kampung Senibong pada Jumaat bagi meneliti pelaksanaan serta mengenal pasti isu-isu di sepanjang jajaran projek berkenaan.
Menurut beliau, lawatan tersebut bertujuan memastikan setiap permasalahan yang timbul dapat ditangani secara menyeluruh demi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya, khususnya penduduk setempat yang terkesan secara langsung dengan pembinaan projek itu.
“Hasil lawatan mendapati terdapat beberapa isu di tapak projek, antaranya kawasan yang mudah dinaiki air serta kejadian tanah runtuh susulan hujan lebat kebelakangan ini.
“Terdapat juga beberapa isu kecil yang memerlukan kerja-kerja kemasan dan penyelenggaraan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa semua isu yang dibangkitkan telah dibincangkan bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi berkaitan.
“Pihak berkenaan bersedia untuk mengambil kira perkara tersebut bagi memastikan tahap keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya pada masa hadapan.
“Pihak kontraktor juga telah dimaklumkan mengenai tindakan pembetulan yang perlu dilaksanakan dengan segera,” ujarnya lagi.
Tambahnya, usaha penambahbaikan termasuk menaikkan aras kawasan yang kerap dilanda banjir adalah penting bagi memastikan jalan berkenaan dapat digunakan dalam apa jua keadaan, termasuk ketika musim hujan dan banjir.
Turut serta, wakil Pegawai Daerah Bau Saffika Kueh. -EDISI UKAS