Sukan dan Warisan Budaya Disatukan dalam Pembukaan Paragon Pickleball Sports Center
MIRI: Usaha mempromosikan gaya hidup sihat sambil memelihara warisan budaya masyarakat berbilang kaum terus diperkasa menerusi Majlis Perasmian Paragon Pickleball Sports Center yang diserikan dengan Program Pengenalan Pickleball serta Pertandingan Tulisan Kaligrafi Cina sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di Desa Senadin, di sini pada Sabtu.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, yang menyifatkan penganjuran program berkenaan sebagai inisiatif bermakna dalam menggalakkan amalan hidup sihat di samping memelihara nilai budaya tradisional masyarakat Sarawak.
Menurut beliau, walaupun pusat sukan tersebut dirasmikan secara rasmi hari ini, gelanggang pickleball berkenaan sebenarnya telah mula beroperasi sejak kira-kira 10 bulan lalu dan berjaya menganjurkan lebih daripada sedozen kejohanan serta pelbagai aktiviti sukan.
Beliau turut menjelaskan keunikan majlis perasmian kali ini terletak pada penggabungan sukan moden pickleball yang semakin popular dengan seni kaligrafi Cina yang sarat dengan nilai tradisi.
Pendekatan tersebut, katanya, mencerminkan keseimbangan antara kemajuan dan pemeliharaan warisan budaya, sekali gus mengukuhkan identiti serta keharmonian masyarakat majmuk di Sarawak.
Dato Sri Lee turut menyifatkan pickleball sebagai sukan yang mudah dipelajari, bersifat inklusif dan sesuai untuk semua peringkat umur, selain mampu menggalakkan penglibatan seisi keluarga bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan penglibatan pelajar dalam aktiviti fizikal bagi mewujudkan keseimbangan antara akademik dan sukan, di samping menyumbang kepada kesihatan mental serta pembentukan sahsiah generasi muda.-EDISI UKAS