Projek Pusat Khidmat Batu Lintang, Sri Aman Bernilai RM15 Juta Masih Dilaksanakan
SIMANGGANG: Projek Pusat Khidmat Batu Lintang, Undop, baharu di sini yang bernilai RM15 juta masih dalam proses pelaksanaan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis, berkata projek di bawah Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) berkenaan akan dilaksanakan di atas tanah berkeluasan dua ekar dan melibatkan pembinaan 10 lot rumah kedai dua tingkat, pasar tamu dan dewan komuniti.
"Bagaimanapun, Lesen Pendudukan Sementara (TOL) bagi tanah berkenaan sudah tamat tempoh dengan pihak Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Sri Aman kini sedang dalam proses memperbaharui semula lesen terbabit.
"Kita sekarang juga sedang berbincang dengan pihak Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (PELITA) untuk membuat reka bentuk, pelan dan mencari jalan untuk membangunkan pusat khidmat yang baharu ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Pembangunan Komuniti Majlis Daerah Sri Aman (MDSA): Gotong-Royong dan Kempen Kebersihan untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Cina Bandar Sri Aman di sini, pada Sabtu.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu lagi, kewujudan pusat khidmat baharu terbabit juga adalah perlu apabila cadangan pembinaan tiga pos sempadan iaitu Sungai Putong, Temiang dan Titingkah dalam kawasan Batu Lintang, Undop, Sri Aman.
"Projek pembinaan pos sempadan di Sungai Putong sudah pun diluluskan dengan kos sebanyak RM5 juta dan bakal menempatkan Jabatan Imigresen, Kastam, Pasukan Gerakan Am dan Pasukan Polis Diraja Malaysia.
"Dua lagi juga sudah dilulus namun belum ada peruntukan. Justeru, diharap agar projek pusat khidmat ini dapat dilaksanakan bagi mengurus urusan ulang-alik antara penduduk kita dan warga jiran di kawasan ini pada masa akan datang," katanya.
Terdahulu, seramai 32 kakitangan MDSA dan 70 ahli JKKK Cina Bandar Sri Aman termasuk Ketua Kaum telah mengambil bahagian dalam kempen yang berlangsung di kawasan Jalan Kelab, Jalan Kecil dan Jalan Main Bazaar di kawasan bandar ini.
Hadir sama, Pengerusi MDSA Anthony Abell Chendan. -EDISI UKAS