Dua Projek Bernilai Hampir RM2 Juta Lonjak Pembangunan Kampung Suba Buan
BAU: Dua buah projek bernilai hampir RM2 juta hasil peruntukkan Kerajaan Sarawak telah melonjak pembangunan di kampung Suba Buan.
Projek berkenaan adalah menaik taraf jalan dari kampung Suba Buan ke kampung Suba Bau sepanjang dua kilometer membabitkan kos sebanyak RM900,000 yang dibina dibawah peruntukkan Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
Manakala projek kedua adalah projek penyambungan paip oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bau yang dilaksanakan dengan menggunakan dua peruntukkan iaitu dibawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM300,000 dan sebahagian peruntukkan dari projek penyambungan paip berkelompok kawasan Jagoi yang berjumlah RM1.8 juta dibawah GKCDA.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep, berkata apabila infrastruktur seperti jalan kampung, bekalan air bersih, elekterik dan sebagainya dinaiktaraf di kawasan kampung, ianya secara langsung memberi faedah dan kemudahan kepada penduduk.
Tambahnya, penduduk kampung Suba Buan juga kini berpeluang memohon Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) dengan adanya Surat Hakmilik Tanah untuk membantu mengatasi masalah menyewa dan membeli rumah yang mahal di kawasan bandar.
Katanya lagi, melalui Rangka Tindakan Greater Bau, perancangan menyediakan kemudahan infrastruktur yang kukuh diikuti dengan pengeluaran geran tanah yang telah dilaksanakan sejak lapan ke sembilan tahun lepas tidak pernah salah.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif GKCDA Datu Ik Pahon Joyik, Penolong Jurutera Air Bahagian (Pembangunan) JBALB Sarawak Ts Siet Ung Wu, Setiausaha Majlis Daerah Bau Ong Chin Ping dan wakil Pegawai Daerah Bau Danny Gumbang Martin Engkujang. -EDISI UKAS