LAWAS: Daerah Lawas terus mencatat kemajuan pesat apabila Kerajaan Sarawak mempergiat pelaksanaan inisiatif pembangunan bersepadu yang memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi tempatan, penambahbaikan infrastruktur serta pemerkasaan keusahawanan demi kesejahteraan rakyat.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, antara inisiatif strategik yang dilaksanakan ialah pembangunan beberapa Anjung Usahawan di sekitar Lawas bagi menyediakan kemudahan perniagaan yang lebih kondusif kepada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Menurut beliau, Anjung Usahawan Lawas berperanan sebagai platform penting untuk memperkasa usahawan tempatan, menarik minat pelabur serta mewujudkan peluang pekerjaan.
“Pembangunan Anjung Usahawan ini bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi setempat, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan bersepadu yang sedang dan akan dilaksanakan di Lawas,” katanya ketika Majlis Perasmian Anjung Usahawan Lawas serta Penyampaian Geran Bantuan Usahawan dan Surat Tawaran Lot Industri Lawas.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelbagai projek infrastruktur utama sedang giat dilaksanakan, antaranya pembinaan klinik kesihatan baharu yang kini hampir siap sepenuhnya.
Pada majlis berkenaan, kerajaan negeri turut menzahirkan sokongan padu kepada usahawan tempatan menerusi penyerahan bantuan melibatkan beberapa inisiatif bantuan keusahawanan.
Antaranya Program GERAK berjumlah RM528,949, USTEV (RM94,900), SPIKS (RM300,000), Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) bernilai RM4.96 juta serta Program Go Digital berjumlah RM70,000 bagi menggalakkan pendigitalan perniagaan. -EDISI UKAS