Projek RTP Tingkat Kemudahan Pendidikan & Komuniti
MIRI: Pelaksanaan Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Piasau terus memberi impak positif apabila kemudahan sekolah dan balairaya Kampung Pulau Melayu berjaya dinaik taraf, sekali gus meningkatkan keselesaan serta kesejahteraan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pulau Melayu dan Balairaya Kampung Pulau Melayu bagi meninjau pelaksanaan projek RTP yang telah siap dilaksanakan.
Lawatan yang bermula sekitar jam 9.30 pagi itu turut disertai pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) serta wakil penduduk kampung, bertujuan memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut spesifikasi, disiapkan mengikut jadual dan benar-benar memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat.
Pada lawatan pertama, Datuk Sebastian Ting meninjau projek RTP 2023 di SK Kampung Pulau Melayu yang melibatkan peruntukan sebanyak RM100,000.
Projek tersebut merangkumi pembinaan sebuah pentas baharu yang menyediakan ruang lebih selesa, selamat dan berfungsi bagi penganjuran program sekolah, perhimpunan serta aktiviti kokurikulum.
Beliau kemudiannya meneruskan lawatan ke Balairaya Kampung Pulau Melayu bagi menyaksikan penyerahan projek RTP 2025 bernilai RM200,000 yang melibatkan kerja-kerja menaik taraf kemudahan balairaya.
Skop projek termasuk pembinaan pentas yang lebih besar, pembaikan dan peluasan bumbung, pemasangan pintu serta tingkap baharu, selain penyusunan semula sistem pendawaian elektrik bagi mengatasi isu kecurian elektrik yang pernah berlaku sebelum ini.
Projek tersebut telah berjaya disiapkan dalam tempoh enam bulan.-EDISI UKAS