Karnival SDG Bandaraya Miri Komitmen Ke Arah Bandaraya Mampan
MIRI: Komitmen berterusan ke arah menjadikan Miri sebuah bandaraya mampan, inklusif dan berdaya saing dizahirkan menerusi pelancaran Karnival Sustainable Development Goals (SDG) Bandaraya Miri Edisi 1/2026 yang berlangsung di Pasaraya Boulevard, di sini, petang Jumaat.
Majlis perasmian disempurnakan Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang.
Dalam ucapannya, Adam Yii merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Unit Pembangunan Komuniti Lestari SDG Majlis Bandaraya Miri, rakan strategik SDG serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran karnival tersebut.
Menurut beliau, penganjuran karnival ini mencerminkan komitmen kolektif pelbagai lapisan masyarakat termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan dalam menterjemahkan agenda global SDG ke peringkat akar umbi secara praktikal dan berkesan.
Beliau menegaskan bahawa Matlamat Pembangunan Mampan bukan sekadar komitmen antarabangsa, sebaliknya tanggungjawab bersama bagi memastikan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial.
Pelaksanaan SDG di Bandaraya Miri juga selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menekankan pembangunan inklusif dan hijau.
Adam Yii turut memuji pendekatan karnival yang bersifat mendidik dan berteraskan komuniti dalam meningkatkan kesedaran awam bahawa kelestarian bermula daripada tindakan setiap individu.
Karnival SDG Bandaraya Miri Edisi 1/2026 dianjurkan oleh Pembangunan Komuniti Lestari SDG Majlis Bandaraya Miri dengan kerjasama rakan strategik SDG serta Jawatankuasa Penduduk Miri, dan berlangsung selama dua hari bermula 16 hingga 17 Januari 2026.
Antara pengisian utama karnival termasuk pameran agensi, aktiviti komuniti, program kesedaran alam sekitar, saringan kesihatan percuma, pelancaran Kempen Sifar Plastik Sekali Guna serta Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Penduduk Bandaraya Miri.
Majlis turut dihadiri Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri, Ariffin Mohamad serta Pengerusi Jawatankuasa SDG Majlis Bandaraya Miri dan Kaunselor Jamil Bujang.-EDISI UKAS