Kebajikan Mangsa Banjir Jadi Keutamaan, Pemulihan Pasca Bencana Diperkasa
BINTULU: Kebajikan mangsa banjir di Bintulu terus diberi perhatian serius, khususnya dalam aspek keperluan asas serta usaha pemulihan pasca bencana.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata pemantauan berterusan dilaksanakan bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) serta ketua-ketua masyarakat bagi memastikan agihan bantuan berjalan teratur, menyeluruh dan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Beliau turut menasihati mangsa terjejas supaya menyalurkan maklumat berkaitan kerosakan harta benda, kehilangan dokumen penting serta keperluan persekolahan anak-anak melalui saluran ditetapkan bagi memudahkan tindakan susulan oleh agensi berkaitan.
“Keutamaan kita adalah memastikan kebajikan mangsa terpelihara dan semua bentuk bantuan yang diperlukan dapat disampaikan tanpa kelewatan,” katanya ketika berucap pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Penyerahan Bantuan Bencana Banjir di Kampung Kuala Segan, petang Jumaat.
Iskandar menegaskan, kerjasama erat antara agensi kerajaan, ketua masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan serta sektor swasta amat penting bagi memastikan pengurusan bantuan bencana berjalan lancar dan berkesan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk agensi keselamatan, badan sukarelawan dan syarikat korporat yang tampil menghulurkan bantuan kepada penduduk terjejas di kawasan terbabit.
Katanya, pelaksanaan program CSR hasil kerjasama sektor swasta memainkan peranan signifikan dalam mengenal pasti keperluan mendesak mangsa banjir, khususnya melibatkan kebajikan serta pendidikan anak-anak, sekali gus memastikan bantuan disalurkan secara tersusun dan bersasar.
Pada program berkenaan, sebanyak 96 bakul makanan diagihkan kepada penduduk terjejas, dengan 48 daripadanya disumbangkan oleh Bintulu Port Holdings Berhad manakala selebihnya disalurkan melalui Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Sumbangan barangan keperluan asas itu diharap dapat meringankan beban mangsa sepanjang tempoh pemulihan, selain mencerminkan komitmen berterusan antara kerajaan dan pihak swasta dalam menjaga kebajikan masyarakat setempat.
Majlis penyerahan turut dihadiri Pengurus Besar Group Stakeholder Relations Bintulu Port Holdings Berhad, Maslihah Tioh.-EDISI UKAS