Pembangunan Semula Pekan Trusan Perkasa Kualiti Hidup, Pacu Ekonomi Setempat
LAWAS: Pekan Trusan bakal melalui transformasi menyeluruh apabila Kerajaan Sarawak melaksanakan pembangunan semula kawasan itu sebagai hab kediaman moden dan pusat aktiviti sosioekonomi, sekali gus meningkatkan kualiti hidup penduduk serta merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, inisiatif pembangunan semula tersebut dirangka secara strategik dengan memberi penekanan kepada penyediaan perumahan yang selesa, penambahbaikan infrastruktur asas serta pewujudan peluang pekerjaan dan pelaburan baharu di Trusan.
Menurut beliau, kerajaan negeri telah meluluskan beberapa suntikan peruntukan bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan utama dapat dilaksanakan secara terancang dan berkesan, dengan kerjasama perusahaan besar, Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (LCDA) serta sokongan sektor swasta.
“Kerajaan negeri akan membangunkan sepenuhnya infrastruktur asas, manakala projek perumahan akan mengutamakan penduduk yang masih menetap di Pekan Trusan bagi memastikan tiada komuniti tercicir dalam arus pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jom Singgah Makan Durian di Dewan Pekan Trusan.
Datuk Amar Awang menjelaskan, setakat ini sebanyak 15 buah rumah telah berada pada peringkat pelaksanaan dan dijangka siap dalam masa terdekat.
Penduduk tempatan akan diberi keutamaan untuk menduduki perumahan baharu tersebut, seterusnya membolehkan projek pembangunan semula bandar atau Urban Redevelopment dilaksanakan sepenuhnya.
Tambah beliau, fasa awal pembangunan melibatkan kira-kira 50 lot perumahan, namun jumlah itu berpotensi ditambah sehingga melebihi 100 lot sekiranya permintaan meningkat.
Kawasan pembangunan itu turut dilengkapi kemudahan awam seperti padang, dewan serbaguna dan kawasan rekreasi bagi memenuhi keperluan sosial komuniti setempat.
Selain pembangunan kediaman, pelaksanaan Projek Northern Coastal Highway yang sedang berjalan, termasuk pembinaan jambatan berstruktur kukuh dan reka bentuk moden, serta perancangan pembangunan kawasan tepi sungai sebagai Wetland Park, akan menjadi elemen penting dalam menyokong kelestarian alam sekitar dan mewujudkan tarikan rekreasi baharu di Trusan.
Program Jom Singgah Makan Durian turut dimeriahkan dengan kehadiran penduduk setempat yang mengambil peluang menikmati durian tempatan, sejajar dengan reputasi Trusan sebagai antara kawasan pengeluar durian terkenal di utara Sarawak.
Datuk Amar Awang menegaskan bahawa pembangunan semula Pekan Trusan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan rakyat menikmati kesejahteraan dan peluang ekonomi yang lebih seimbang, sambil menyeru penduduk tempatan agar terus memberi kerjasama bagi menjayakan pelaksanaan projek berkenaan demi manfaat jangka panjang komuniti setempat. — EDISI UKAS