LAKMD Sumbang 537 Beg Sekolah Kepada Sembilan Sekolah Sekitar Daro
DARO: Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Daro (LAKMD) telah menyalurkan sebanyak 537 unit beg sekolah kepada sembilan buah sekolah di sekitar Daerah Daro bagi membantu pelajar yang memerlukan, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro merangkap Pengerusi LAKMD Dr. Safiee Ahmad, berharap sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan sebaiknya serta menjadi pemangkin semangat kepada pelajar untuk terus cemerlang dalam akademik.
“Program ini merupakan usaha berterusan LAKMD dalam meringankan beban keluarga berpendapatan rendah, khususnya menjelang sesi persekolahan baharu, di samping memastikan kebajikan pendidikan pelajar sentiasa diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Beg Sekolah LAKMD Tahun 2026 di Masjid Al-Muhsiniin, Daro, pada Jumaat.
Dr. Safiee turut menegaskan komitmen LAKMD untuk terus memperkasakan program kebajikan yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat.
Inisiatif kebajikan tersebut dilaksanakan sebagai usaha berterusan LAKMD dalam membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah, khususnya menjelang sesi persekolahan baharu.-EDISI UKAS