Samarahan Boulevard Jadi Pencetus Taman Awam Ikonik Sarawak
KOTA SAMARAHAN: Samarahan Boulevard bakal menjadi pencetus kepada pembangunan sebuah taman awam berskala besar yang dirancang sebagai kawasan hijau utama dan ikon rekreasi baharu negeri ini seumpama Hyde Park di London.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Jabatan Tanah dan Survei telah mengenal pasti lebih 1,000 ekar tanah atau kira-kira 350 hektar sebagai kawasan hijau yang terletak berhampiran Samarahan Boulevard.
Menurutnya, kawasan boulevard ini dilengkapi dengan kawasan hijau yang ditanam dengan pokok-pokok serta dilengkapi laluan joging yang dibangunkan sepenuhnya dalam suasana hijau.
"Justeru, Samarahan Boulevard ini hanyalah permulaan, mukadimah kepada pembangunan yang lebih besar.
"Boulevard ini akan menjadi sebahagian daripada sebuah taman besar, saya tidak tahu nama apa untuk diberikan tapi buat masa sekarang kita namakan sebagai Samarahan Park.
"Jika London mempunyai Hyde Park, kita juga akan mempunyai Samarahan Park yang dibangunkan untuk masa depan dan bakal menjadi tarikan utama kepada keseluruhan kawasan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Samarahan Boulevard di tapak projek tersebut, di sininpada Sabtu.
Premier Sarawak menambah, kawasan seluas 1,000 ekar ini ditanam dengan pokok-pokok, khususnya pokok jati tempatan Sarawak seperti pokok belian.
Ujarnya, kawasan ini juga akan diisytiharkan sebagai kawasan hijau yang memberi perlindungan undang-undang di mana tanah berkenaan tidak boleh dibangunkan untuk tujuan komersial atau perumahan tanpa kelulusan Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Status tanah tersebut tidak boleh ditukar milik kecuali melalui kelulusan DUN kerana dengan cara ini, kawasan tersebut mendapat perlindungan undang-undang," ujarnya.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Dato Idris Buang,
Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Mohd Shahril, Ibanez & George Embie