Pelaksanaan FTES Perkukuh Pembangunan Tenaga Kerja Sarawak
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mencari pendekatan terbaik bagi menyalurkan bantuan kepada pelajar di universiti awam sebagai sebahagian usaha strategik membangunkan tenaga kerja berkemahiran dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pada peringkat ini kerajaan negeri memberi tumpuan kepada universiti di Sarawak dengan menyediakan pendidikan percuma melalui pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES).
"Kita lihat dulu pendapatan kita dan mungkin seterusnya kelak kita akan mencari jalan untuk memberi bantuan kepada anak kita yang belajar di universiti awam kepunyaan negara.
"Ini merupakan fasa kedua dalam perancangan kita," katanya ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Samarahan Boulevard di tapak projek tersebut, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Premier Sarawak memberitahu, Samarahan akan terus dibangunkan dengan infrastuktur berkelas dunia dalam usaha mengelakkan daripada terjerumus dalam perangkap pendapatan pertengahan (middle-income trap).
Ujarnya, Sarawak perlu menggunakan kekuatan tersendiri dalam ekonomi baharu yang berteraskan kepada teknologi.
Jelasnya, Samarahan kawasan yang terus membangunkan dengan adanya dua universiti awam, Pusat Jantung Sarawak termasuk pembangunan baharu seperti Pusat Kanser Sarawak, pembinaan lapangan terbang baharu dan pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang.
"Kesannya kepada masyarakat, ekonomi akan melonjak di mana kita akan mempunyai kawasan perindustrian, zon pelabuhan baharu dan kawasan pembangunan yang strategik
"Kedua, peluang pekerjaan akan diwujudkan, termasuk pekerjaan dengan kadar gaji yang tinggi.
"Ketiga, kawasan tersebut akan dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan, termasuk taman (Samarahan Boulevard) untuk aktiviti riadah seperti yang disebutkan tadi membolehkan ini akan menjadikan kawasan tersebut sebuah bandar moden yang dikenali sebagai bandar rendah karbon," jelasnya. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Mohd Shahril, Ibanez Jeffery & George Embie