MIRI: Penganjuran Miri Marathon 2026 yang berlangsung pada 12 April depan dijangka mengukuhkan kedudukan Miri sebagai hab pelancongan sukan bertaraf antarabangsa.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, acara berprestij itu menjadi platform strategik yang menggabungkan sukan, teknologi dan pelancongan bagi menarik perhatian dunia.
Menurut beliau, Miri Marathon 2026 dijangka menarik ribuan pelari dari dalam dan luar negara, sekali gus memberi limpahan ekonomi langsung kepada sektor perhotelan, makanan dan minuman, pengangkutan serta perniagaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
“Penganjuran acara berskala besar seperti ini memberi kesan berganda kepada ekonomi bandar, selain meningkatkan keterlihatan Miri di peringkat antarabangsa sebagai destinasi pelancongan sukan yang unik dan inovatif,” katanya.
Acara ini menyasarkan penyertaan seramai 10,000 pelari dalam empat kategori utama iaitu Maraton Penuh 42.195 kilometer, Separuh Maraton 21.0975 kilometer, Larian Pantas 10 kilometer dan Larian Santai 5 kilometer.
Menariknya, edisi 2026 tampil dengan kelainan menerusi tema “Tech x Sports x Tourism”, termasuk penyertaan robot humanoid yang bakal mencipta sejarah sebagai maraton pertama di Asia Tenggara menampilkan elemen teknologi tersebut. -EDISI UKAS