Kerajaan Sarawak Perkukuh Agenda Warga Emas, PAWE Jadi Platform Penuaan Aktif
Kerajaan Sarawak Perkukuh Agenda Warga Emas, PAWE Jadi Platform Penuaan Aktif
BETONG: Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuh agenda kesejahteraan warga emas menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif inklusif, selari dengan peningkatan populasi golongan berkenaan di negeri ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, Bahagian Betong merupakan antara kawasan paling aktif dalam pengoperasian Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dengan penubuhan enam pusat setakat ini.
Menurut beliau, PAWE yang beroperasi di Debak, Pusa, Beladin, Kabong, Betong dan Spaoh berperanan penting sebagai platform bagi memastikan warga emas kekal aktif dari segi fizikal, mental dan sosial, sekali gus menyumbang kepada kualiti hidup yang lebih baik.
“PAWE bukan sekadar pusat aktiviti, malah menjadi ruang sokongan sosial yang membantu warga emas kekal sihat, berdaya saing dan tidak terpinggir daripada arus pembangunan,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Warga Emas, Program Citra Minda Intergenerasi serta Perasmian PAWE Betong di sini, pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar itu turut mencadangkan agar penganjuran sukan warga emas dilaksanakan di peringkat Bahagian Betong sebagai usaha menggalakkan gaya hidup aktif di samping mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Menyentuh perkembangan demografi negeri, Datuk Gerald berkata Sarawak kini berdepan peningkatan jumlah warga emas, dengan lebih 300,000 pemegang Kenyalang Gold Card, bersamaan kira-kira 12 peratus daripada jumlah populasi, dan angka tersebut dijangka meningkat kepada sekitar 18 hingga 20 peratus menjelang 2028.
Justeru, beliau menegaskan keperluan persediaan rapi melibatkan semua lapisan masyarakat termasuk generasi muda, bagi memastikan keperluan warga emas dapat ditangani secara menyeluruh dan mampan.
“Kerajaan Sarawak menghargai sumbangan generasi terdahulu yang menjadi asas kepada pembangunan negeri hari ini.
“Oleh itu, pelbagai bantuan dan kemudahan terus disediakan termasuk sokongan kesihatan menerusi program Senior Citizen Health Benefit (SCHB) serta bantuan kebajikan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat,” ujarnya.
Program berkenaan turut diisi dengan ceramah Kesedaran Kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Betong, aktiviti intergenerasi, perasmian PAWE Betong, penyampaian hadiah pertandingan serta cabutan bertuah.
Pada majlis tersebut, Anugerah Ahli Warga Emas Paling Aktif Tahun 2025 peringkat PAWE Betong disampaikan kepada Awi Mohidi, 74 tahun bagi kategori lelaki dan Hajijah Sait, 69 tahun bagi kategori wanita.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Norhayati Abdul Manan, Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas, wakil Pegawai Daerah Betong Dayang Nurahanim Abang Ramlan, Pegawai Kebajikan Bahagian Betong Abdul Shamat Kassim dan Pengerusi PAWE Betong Abang Suhailie Abang Pay.-EDISI UKAS