Dato Hanifah Santuni Mangsa Kebakaran, Salur Bantuan dan Sokongan Moral
MUKAH: Mangsa kebakaran di Nanga Sikat menerima sumbangan daripada Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib, pada Jumaat.
Dato Hanifah turut menyantuni mangsa kebakaran dan menyalurkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada keluarga mangsa.
Menurutnya, ia merangkumi RM3,000 bagi makanan dan keperluan asas serta RM7,000 dalam bentuk bantuan tunai bagi meringankan beban yang ditanggung oleh manga.
“Saya berharap agar keluarga mangsa terus tabah dan cekal menghadapi dugaan ini dan semoga segala urusan dipermudahkan,” katanya ketika menyantuni mangsa tersebut.
Sehubungan itu, beliau menyampaikan sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Mukah yang terdiri daripada barangan makanan dan keperluan asas kepada mangsa terlibat.
Dato Hanifah turut memberikan sokongan moral kepada keluarga mangsa serta menzahirkan rasa simpati atas musibah yang menimpa.
Hadir sama, Timbalan Residen Bahagian Mukah Shafrie Saili, Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip, Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah Dariel Thiong Yiew Seng. -EDISI UKAS