1,088 Bakul Makanan Disalurkan kepada Penduduk Terjejas Banjir di Mukah
MUKAH: Sebanyak 1,088 bakul makanan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Mukah disalurkan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir di kawasan Kampung Sitieng dan sekitarnya.
Simbolik penyerahan bantuan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib, pada Jumaat.
Penyerahan tersebut turut dihadiri oleh kedua-dua wakil rakyat di kawasan terbabit iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi dan ADUN Tellian Royston Valentine.
Sehubungan itu, Dato Hanifah menzahirkan penghargaan kepada JKM Bahagian Mukah atas keprihatinan serta sumbangan kepada komuniti yang terjejas, khususnya dalam memastikan kebajikan penduduk terus terbela.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua kementerian, jabatan dan agensi yang terlibat dalam proses penghantaran dan pengagihan bakul makanan.
Ini termasuklah penggunaan aset dan jentera bagi memastikan bantuan dapat disampaikan dengan lancar.
Sementara itu, Royston berharap agar bakul makanan tersebut dapat memenuhi keperluan asas keluarga yang terkesan disebabkan banjir.
Menurutnya, pihak kerajaan akan memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjaga khususnya apabila bencana banjir.
“Kerajaan sentiasa peka dan mengambil berat akan keperluan rakyat terutamanya apabila berdepan dengan situasi luar jangka seperti bencana.
“Ini adalah antara usaha bagi memastikan penduduk di kawasan terlibat tidak terputus daripada menerima bantuan,” tambahnya.
Hadir sama, Timbalan Residen Bahagian Mukah Shafrie Saili, Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip, Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah Dariel Thiong Yiew Seng. -EDISI UKAS