Yang di-Pertua Negeri Sarawak & Isteri Luang Masa Bersama Rakyat Di Emart Batu Kawa
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri,Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi mengambil kesempatan meluangkan masa hujung minggu dengan mengadakan kunjungan santai ke Pasar Raya Emart Batu Kawa pada Sabtu.
Lawatan tersebut merupakan kunjungan pertama beliau berdua ke pasar raya berkenaan, meskipun lokasi itu sering menjadi sebutan dalam kalangan ahli keluarga.
Dalam kunjungan berkenaan, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah turut membeli barangan keperluan sebagai persiapan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina 2026.
Anakanda mereka, Sharifah Fariah, turut hadir mengiringi pasangan diraja negeri itu.
Ketibaan beliau disambut oleh Pengarah Pengurusan Emart Group, Ngu Ting Sii, bersama barisan pengurusan kanan syarikat.
Sepanjang berada di premis tersebut, beliau meluangkan masa beramah mesra serta berinteraksi secara langsung dengan para pengunjung yang sedang membeli-belah.
Selain itu, beliau turut meninjau kawasan medan selera Emart yang menempatkan pelbagai pilihan juadah.
Kehadiran orang ramai yang memenuhi pasar raya berkenaan jelas mencerminkan peranan Emart Batu Kawa sebagai salah satu pusat membeli-belah utama masyarakat setempat.
Ramai pengunjung turut mengambil peluang mengabadikan kenangan dengan bergambar bersama Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah. -EDISI UKAS