DBKU Lancar Kalendar Acara 2026, 36 Acara Bakal Dilaksana Sepanjang Tahun
KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) melancarkan Kalendar Acara 2026 yang menampilkan pelbagai program berskala besar dan bertaraf antarabangsa bagi memeriahkan aktiviti bandaraya sepanjang tahun.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kalendar tersebut mengetengahkan 36 acara yang dilaksanakan dari Januari hingga Disember, melibatkan gabungan acara tahunan sedia ada serta beberapa acara baharu.
“Pelancaran kalendar ini bertujuan memastikan kemeriahan aktiviti bandaraya Kuching seiring dengan bandar-bandar lain di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kalendar Acara 2026 DBKU di Padang Merdeka, di sini pada Ahad.
Datuk Dr Abdul Rahman menambah, antara tumpuan utama adalah penganjuran acara tonggak yang melibatkan penyertaan peserta dari luar negara, khususnya dalam bidang seni, budaya dan sukan.
Jelasnya, antara acara baharu yang diperkenalkan termasuk Kuching International Arts and Crafts Fair serta International Trail Run, yang pertama kali dianjurkan oleh DBKU.
Dalam perkembangan lain, Datuk Dr Abdul Rahman berkata, program Kuching Car Free Morning terus menjadi platform penting dalam mempromosikan gaya hidup sihat serta menyokong usaha kelestarian alam sekitar di bandaraya Kuching.
Beliau berkata, program tersebut selari dengan agenda Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan pelepasan karbon serta meningkatkan kelestarian bandar.
“Sejak dilaksanakan, Kuching Car Free Morning telah menjadi acara yang amat dinanti-nantikan oleh warga kota, khususnya pada Ahad minggu pertama dan ketiga setiap bulan, di mana orang ramai bersama keluarga, rakan-rakan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta pelbagai pertubuhan hadir untuk beriadah,” ujarnya.
Menurut beliau, penganjuran program tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat untuk beriadah secara sihat, malah berperanan sebagai usaha bersama ke arah pengurangan pelepasan karbon dan pemeliharaan alam sekitar bandaraya Kuching.
Turut hadir Datuk Bandar DBKU Dato Hilmy Othman dan Pengarah DBKU Ramzi Abdillah.-EDISI UKAS