Pengakap Berasaskan Komuniti Perkukuh Sahsiah, Kepimpinan & Jati Diri
BINTULU: Pergerakan Pengakap berasaskan komuniti terus diangkat sebagai platform strategik pembangunan belia yang berkesan dalam membentuk sahsiah, disiplin serta kepimpinan generasi muda, sekali gus berperanan sebagai benteng awal membendung gejala sosial dalam kalangan remaja di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pendekatan berasaskan komuniti memberi ruang penglibatan lebih meluas dan berterusan kepada belia dalam aktiviti pembentukan jati diri yang tersusun serta berimpak tinggi di peringkat akar umbi.
“Pergerakan Pengakap bukan sekadar aktiviti kokurikulum, sebaliknya merupakan sebuah institusi pendidikan tidak formal yang berkesan dalam membentuk akhlak, nilai murni serta semangat kepimpinan dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom semasa merasmikan Penubuhan Kumpulan Pengakap di bawah Program Community-Based Scouting di Auditorium Wisma Bintulu, pada Sabtu.
Menurut beliau, kaedah pendidikan pengakap yang menekankan aspek disiplin, kemahiran hidup, kepimpinan serta khidmat masyarakat mampu melahirkan belia yang seimbang dari segi fizikal, mental, emosi dan rohani.
Pendekatan holistik itu, katanya, amat penting bagi memastikan belia bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berupaya menyumbang secara positif kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kejayaan pelaksanaan pengakap berasaskan komuniti memerlukan sokongan padu dan berterusan daripada ketua masyarakat, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta.
“Sokongan dalam bentuk penajaan, penyediaan kemudahan serta penganjuran aktiviti bersama amat penting bagi memastikan kelestarian dan keberkesanan pergerakan Pengakap di peringkat akar umbi,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Majang Renggi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, ADUN Jepak, Iskandar Turkee serta Ketua-ketua Jabatan kerajaan.-EDISI UKAS