PERKIM Lawas Perkukuh Kebajikan & Pembangunan Komuniti
LAWAS: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Lawas terus komited memperkasa agenda kebajikan dan pembangunan komuniti melalui pelaksanaan pelbagai program berimpak merangkumi aspek sosial, ekonomi serta pembangunan modal insan sepanjang tahun 2025.
Sepanjang tempoh tersebut, PERKIM Lawas telah melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan secara berterusan dengan kerjasama jabatan serta agensi kerajaan, selain sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara berkesan kepada golongan memerlukan, khususnya umat Islam dan golongan asnaf di kawasan Lawas.
Pengerusi PERKIM Cawangan Lawas, Dato Dayang Morliah Awang Daud berkata, kesinambungan penganjuran program kebajikan amat penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, selari dengan peranan PERKIM sebagai platform sokongan sosial dan pembangunan komuniti.
“PERKIM Lawas berharap agar program-program kebajikan dan pembangunan yang dilaksanakan secara berterusan ini dapat dikekalkan demi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela, khususnya umat Islam dan golongan asnaf,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-33 PERKIM Cawangan Lawas di Hotel Seri Malaysia Lawas, pada Sabtu.
Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan kepentingan kerjasama erat antara parti politik, jabatan serta agensi kerajaan dalam memperkukuh perpaduan dan kesejahteraan masyarakat.
Menurut beliau, tanggungjawab membangunkan masyarakat perlu digalas secara bersama dengan bergerak dalam satu hala tuju yang jelas demi kepentingan rakyat.
“Dakwah perlu dilaksanakan dengan hikmah, berteraskan akhlak mulia serta tidak bersifat sempit atau bertentangan dengan semangat perpaduan. Dalam konteks masyarakat majmuk, pendekatan dakwah yang berhemah dan saling menghormati amat penting,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, pembinaan bangunan baharu PERKIM Lawas yang sedang dilaksanakan di atas tanah seluas 0.69 hektar dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun ini.
Bangunan tersebut bakal berfungsi sebagai pusat aktiviti komuniti yang dilengkapi kemudahan dewan serta ruang pelbagai guna bagi menyokong penganjuran program ekonomi, sosial dan kebudayaan.
Pembinaan fasiliti ini dijangka menjadi pemangkin kepada peluasan peranan PERKIM Lawas sebagai platform utama penyelarasan aktiviti kebajikan dan pembangunan sosial, sekali gus memperkukuh jaringan komuniti setempat secara inklusif dan berterusan.-EDISI UKAS