Kampung Sadir Diangkat Destinasi Pelancongan Luar Bandar
PADAWAN: Kampung Sadir diangkat sebagai destinasi pelancongan luar bandar menerusi penganjuran Pesta Makan Durian Kampung Sadir, Padawan 2026 berjaya menarik kehadiran ratusan pengunjung menerusi penyediaan lebih 2,000 biji durian tempatan secara percuma kepada orang ramai.
Pesta yang memasuki edisi ketiga sejak diperkenalkan pada 2023 itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil.
Menurut beliau, penganjuran pesta durian ini merupakan sebahagian daripada strategi memperkukuh pelancongan komuniti berasaskan kekuatan tempatan, sekali gus mengangkat Kampung Sadir sebagai produk pelancongan luar bandar yang mampan dan berdaya saing.
“Kampung Sadir memiliki aset pelancongan semula jadi yang signifikan termasuk air terjun, gua semula jadi, kepelbagaian flora dan fauna serta keunikan budaya dan hospitaliti masyarakat yang mesra.
“Kesemua elemen ini berpotensi dibangunkan secara bersepadu bagi mewujudkan pengalaman pelancongan desa yang autentik,” ujar beliau semasa berucap dalam pesta itu, pada Sabtu.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu, pesta durian ini bukan sekadar acara bermusim, tetapi pemangkin kepada pembangunan ekonomi komuniti melalui penyertaan penduduk kampung dalam aktiviti pelancongan, keusahawanan dan penganjuran program.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan sebanyak RM50,000 peruntukan telah disalurkan bagi menyokong penganjuran program ini serta inisiatif pelancongan berkaitan pada masa hadapan.
Peruntukan tersebut dijangka dapat merangsang pertumbuhan ekonomi setempat melalui peluang pekerjaan, jualan hasil pertanian, produk kraftangan serta perkhidmatan sokongan pelancongan.
Dalam pada itu, aspek infrastruktur turut diberi penekanan termasuk keperluan menaik taraf kemudahan awam, dewan serbaguna, kawasan parkir dan prasarana sokongan lain bagi menampung peningkatan jumlah pelawat.
Penambahbaikan jaringan jalan raya di kawasan sekitar juga dilihat penting untuk memudahkan akses ke Kampung Sadir serta meningkatkan keterhubungan pelancongan luar bandar. -EDISI UKAS