Rakyat Perlu Manfaatkan Inisiatif Endowment Fund Sarawak
KOTA SAMARAHAN: Kanak-kanak di kawasan luar bandar Sarawak dikenal pasti antara golongan paling berisiko tercicir daripada manfaat inisiatif Endowment Fund Sarawak, apabila masih ramai ibu bapa belum membuka akaun dana tersebut walaupun ia menyediakan peruntukan RM1,000 bagi setiap kelahiran anak Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, inisiatif kerajaan negeri itu diwujudkan khusus untuk membantu keluarga yang berdepan kekangan kewangan, terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar, dalam membuat persediaan awal bagi pendidikan anak-anak mereka.
“Endowment Fund Sarawak adalah mekanisme penting untuk membantu anak-anak Sarawak, khususnya dari luar bandar, mempunyai simpanan asas apabila mereka mencapai umur 18 tahun.
“Ia boleh digunakan bagi menyambung pelajaran atau latihan kemahiran, sekali gus membuka peluang keluar daripada kitaran kesukaran hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Majlis Perasmian Pembukaan Chegu Aiman Gold & Gadget Cawangan Kota Samarahan pada Sabtu.
Beliau menambah, bermula 2026, pengurusan Endowment Fund Sarawak akan dilaksanakan melalui Affin Bank dengan pendekatan simpanan dan pelaburan berasaskan emas bagi memastikan nilai dana tersebut berkembang dan memberi pulangan lebih bermakna kepada penerima, khususnya anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah.
Bagaimanapun, tahap penyertaan ibu bapa masih belum mencapai sasaran kerajaan negeri iaitu sekurang-kurangnya 80 peratus kelahiran baharu di Sarawak, dengan isu kurang kesedaran dan kekangan maklumat di kawasan luar bandar dikenal pasti sebagai antara faktor utama.
“Ramai ibu bapa di luar bandar masih tidak menyedari bahawa dana ini wujud atau menyangka proses permohonannya rumit.
“Hakikatnya, dana ini adalah hak anak Sarawak dan kerajaan negeri mahu memastikan ia dapat diakses oleh semua tanpa mengira lokasi,” jelasnya.
Sehubungan itu, kerajaan negeri kini mempergiat kerjasama dengan hospital serta klinik kesihatan, termasuk di kawasan pedalaman, bagi membolehkan pendaftaran Endowment Fund Sarawak dilakukan sebaik sahaja kelahiran anak, selain menyediakan pilihan permohonan secara manual dan digital.
Beliau menegaskan bahawa Endowment Fund Sarawak bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan negeri, khususnya bagi memastikan anak luar bandar tidak terus ketinggalan dalam akses kepada pendidikan tinggi.
“Inisiatif ini adalah langkah proaktif untuk memastikan latar belakang kewangan tidak menjadi penghalang kepada pendidikan anak Sarawak.
“Namun, kejayaannya bergantung kepada kesedaran dan tindakan ibu bapa untuk merebut peluang yang telah disediakan,” katanya. —EDISI UKAS