Integriti Bukan Slogan, Sarawak Mahu Maju Dengan Betul
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak menegaskan komitmen untuk memastikan pembangunan negeri digerakkan berteraskan integriti, ketelusan dan kepercayaan rakyat menerusi penganjuran Program Kesedaran Pembangunan Integriti Bersama Komuniti (CIB) yang berlangsung di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS), di sini, pada Ahad.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program tersebut bukan sekadar sebuah acara kesedaran, sebaliknya menjadi isyarat jelas bahawa Sarawak mahu terus maju dengan cara yang betul dan berintegriti.
“Hari ini bukan sekadar program. Ini adalah signal bahawa Sarawak bukan sahaja mahu maju, tetapi mahu maju dengan betul. Bukan sekadar nampak cantik di luar, tetapi kukuh dari dalam dan rakyat boleh percaya,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.
Menurut beliau, integriti tidak boleh bersifat bermusim atau bergantung kepada pemantauan semata-mata, sebaliknya perlu dijadikan budaya dalam sistem pentadbiran dan kehidupan seharian masyarakat.
Katanya, integriti sebenar diuji apabila perkara yang betul tetap dilakukan walaupun tanpa pengawasan.
“Integriti bukan hanya bila ada kamera, audit atau perhatian media. Integriti ialah bila tiada siapa tengok pun, kita tetap buat yang betul,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa integriti bukan hanya berkaitan rasuah, tetapi merangkumi kecekapan menangani aduan rakyat, pematuhan spesifikasi projek, penggunaan kuasa secara berhemah serta keupayaan menunaikan janji kepada masyarakat.
“Rakyat boleh terima jawapan yang pahit, tetapi rakyat susah nak terima senyap yang mematikan. Sebab itu, integriti mesti diterjemahkan melalui tindakan dan penyelesaian, bukan sekadar kenyataan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan pendekatan pemantauan bersama atau co-monitoring yang menjadi teras Program CIB, dengan komuniti diangkat sebagai rakan strategik kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi dan pihak pelaksana.
“Kalau semua bergerak sendiri-sendiri, isu jadi panjang. Kalau semua bergerak bersama-sama, isu jadi pendek. Dalam sistem hari ini, kita mahu isu jadi pendek, bukan rakyat jadi penat,” tegasnya.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Datuk Dr Juanda Jaya berkata, Program CIB merupakan satu usaha reformasi sosial yang menyeluruh dan sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk membina tadbir urus yang lebih responsif dan berintegriti.
“Integriti bukan slogan, bukan hiasan pada banner. Integriti ialah budaya yang hidup dalam keputusan harian, dalam cara kita melaksanakan amanah dan dalam keberanian membetulkan kelemahan secara terbuka,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa aduan rakyat perlu dilihat sebagai sumber data penting bagi menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan, khususnya di peringkat PBT yang menjadi barisan hadapan kerajaan paling hampir dengan rakyat.
“Apabila integriti kukuh, kepercayaan rakyat terhadap institusi akan meningkat, dan apabila kepercayaan meningkat, penyampaian perkhidmatan akan menjadi lebih berkesan dan tersusun,” ujarnya.
Turut hadir, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) Wan Mohamad Wan Drahman, Ketua Pegawai Sektor Operasi Institut Integriti Malaysia (IIM) Harisham Ibrahim, Timbalan Pengerusi MPKS Kr Daily Joseph serta wakil Residen Bahagian Samarahan Rahimah Salwa Hamdan. -EDISI UKAS