Penantian Penduduk Tanjung Upar Nikmati Bekalan Elektrik 24 Jam Akhirnya Direalisasikan Melalui Projek RES
MARUDI: Penantian penduduk di kawasan Tanjung Upar untuk menikmati bekalan elektrik selama 24 jam akhirnya direalisasikan apabila projek sambungan bekalan elektrik di bawah Rural Electrification Scheme (RES) berjaya dilaksanakan.
Projek berimpak tinggi itu sekali gus membawa perubahan besar kepada kehidupan penduduk luar bandar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu yang sebelum ini hanya bergantung kepada sumber tenaga solar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Gala berkata, pelaksanaan projek RES tersebut merupakan bukti komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan penduduk pedalaman turut menikmati kemudahan asas setanding kawasan bandar.
“Ini merupakan hari yang sangat bersejarah buat penduduk Rumah Vincent, Rumah Philip, Rumah Mugang dan Rumah Jipun di kawasan Tanjung Upar.
“Projek bernilai keseluruhan RM7.1 juta ini dilaksanakan melalui projek RES sebagai usaha kerajaan untuk memajukan kawasan pedalaman walaupun jauh dari pusat bandar,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian projek tersebut di Rumah Vincent, Tanjung Upar, pada Jumaat.
Menurut beliau, penyediaan kemudahan asas seperti elektrik, air bersih dan jaringan jalan raya sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak sejajar dengan hasrat untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat luar bandar.
Menyentuh isu banjir yang sering melanda kawasan tersebut, beliau memaklumkan cadangan untuk memindahkan penduduk ke kawasan yang lebih tinggi masih dalam peringkat usaha berikutan tapak cadangan sebelum ini bertindih dengan tanah persendirian.
Selain itu, beliau berkata bekalan air bersih di kawasan berkenaan akan diserahkan kepada pihak Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) untuk penilaian dan penelitian bagi memastikan penduduk dapat menikmati kemudahan air bersih.
Pada majlis sama, Datuk Gerawat turut mengumumkan beberapa peruntukan di bawah Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) DUN Mulu, antaranya RM3,000 sepintu kepada lapan pintu bilik di Rumah Vincent bagi kerja-kerja penambahbaikan rumah.
Beliau juga meluluskan peruntukan RM5,000 bagi pembinaan jalan simen ke sungai yang akan dilaksanakan secara gotong-royong oleh penduduk setempat.
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Vincent pula menerima peruntukan RM7,000 bagi melaksanakan aktiviti tahunan, manakala Unit Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Rumah Vincent diperuntukkan RM4,000 untuk pembelian kipas siling yang akan digunakan di ruai rumah panjang.
Dalam pada itu, Datuk Gerawat turut menggalakkan penduduk yang sedang dalam proses pembinaan rumah panjang supaya memohon pinjaman rumah panjang daripada pihak Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) bagi meringankan beban pembelian bahan binaan.
Sementara itu, Tuai Rumah Vincent dalam ucapannya menyifatkan majlis tersebut sebagai detik bersejarah buat penduduk Tanjung Upar yang kini dapat menikmati kemudahan elektrik 24 jam.
Beliau berkata projek sambungan bekalan elektrik itu membawa sinar baharu kepada penduduk sempena tahun baharu 2026 dan merupakan kemudahan yang amat dinantikan sejak sekian lama.
“Penduduk sebelum ini hanya bergantung kepada tenaga solar. Dengan adanya bekalan elektrik ini, kehidupan kami menjadi lebih selesa dan mudah,” katanya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Datuk Gerawat serta Kerajaan Sarawak yang sentiasa memberi perhatian kepada keperluan penduduk pedalaman.-EDISI UKAS