Kerjasama Gereja dan Masjid Lutong Cari Penyelesaian Parkir Sementara, Lambang Keharmonian Sarawak
MIRI: Semangat toleransi dan kerjasama antara agama di Sarawak sekali lagi dizahirkan menerusi inisiatif bersama Gereja The Parish of Shepherd Church Lutong dan Masjid An-Naim Lutong yang berganding bahu mencari penyelesaian sementara bagi menangani kekangan tempat letak kenderaan susulan kerja-kerja penaiktarafan parkir masjid berkenaan pada Sabtu.
Kedua-dua institusi keagamaan yang terletak bersebelahan itu telah lama mengamalkan perkongsian kemudahan parkir bagi memudahkan penganut masing-masing, khususnya pada waktu solat Jumaat dan ibadah hari Ahad.
Namun, pelaksanaan projek pembesaran kawasan parkir Masjid An-Naim dijangka mengehadkan kapasiti parkir sedia ada sepanjang tempoh pembinaan.
Sehubungan itu, wakil pengurusan gereja dan masjid telah mengadakan pertemuan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, bagi memohon sokongan kerajaan dalam menyediakan penyelesaian jangka pendek bagi memastikan kelancaran aktiviti keagamaan kedua-dua pihak tidak terjejas.
Antara cadangan yang dikemukakan ialah penggunaan sebidang tanah kosong di hadapan Gereja Shepherd Lutong sebagai tapak parkir sementara secara bersama.
Cadangan tersebut dikemukakan memandangkan lokasi tanah berkenaan strategik serta mempunyai akses lalu lintas yang sesuai untuk dijadikan kemudahan asas sementara.
Menurut wakil kedua-dua institusi, inisiatif ini bukan sahaja mampu mengurangkan kesulitan penganut sepanjang tempoh pembinaan, malah memperkukuh lagi hubungan baik yang telah lama terjalin antara komuniti berbilang agama di kawasan Lutong.
Dalam pada itu, Datuk Sebastian Ting menyifatkan kerjasama erat antara gereja dan masjid tersebut sebagai contoh terbaik keharmonian antara kaum dan agama yang menjadi identiti unik Sarawak.
Beliau turut memaklumkan akan berbincang serta menyelaras dengan jabatan dan agensi kerajaan berkaitan bagi meneliti kaedah terbaik untuk merealisasikan pembinaan parkir sementara demi memastikan aktiviti keagamaan kedua-dua pihak berjalan lancar sepanjang tempoh pembinaan.
Tambahnya, keharmonian antara agama yang dizahirkan melalui tindakan nyata seperti ini merupakan kekuatan sosial terbesar Sarawak yang perlu terus dipelihara dan diperkasakan.-EDISI UKAS