UNIFOR Wadah Unik Kerajaan Gapai Kepelbagaian Penganut
UNIFOR ialah akronim bagi Unit for Other Religions, dan merupakan sebuah unit dalam Jabatan Premier Sarawak yang berfungsi untuk memupuk dan mengerati keharmonian antara pelbagai kumpulan agama di Bumi Kenyalang ini.
Antara kegiatan-kegiatan yang dikhususkan untuk dilaksanakan oleh Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain ini termasuklah menyediakan bantuan kewangan bagi pembinaan, pembaikan, dan penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam di Sarawak.
Ini bermakna, rakyat yang menganut apa agama sekalipun seperti penganut agama Kristian, penganut agama Buddha, Hinduisme, Taoisme, Sikh, Bahai, dan lain-lain, kesemuanya dapat merasakan mereka tidak diabaikan atau terbiar tanpa pembelaan.
Hormat dan toleransi kental diamalkan
Di Sarawak, tiada agama yang diisytiharkan sebagai agama rasmi; namun rakyat Sarawak kekal menghormati dan mengamalkan toleransi dalam kalangan setiap penganut pelbagai agama. Keadaan ini wujud sejak turun temurun, malah semakin kental didakap oleh setiap kaum sehingga ke hari ini.
Hakikat inilah yang dilihat oleh setiap pemimpin yang mengurus tadbir Bumi Kenyalang ini sebagai pegangan yang wajar dipertahankan sejak seawal penubuhan negara bangsa yang bernama Malaysia ini. Keadaan ini, yang diwarisi sejak dari zaman pemerintahan Brooke lagi, dan melangkaui ke era koloni British, telah dilihat sebagai pemangkin kepada usaha untuk terus maju ke hadapan.
Wawasan berkesinambungan
Pengwujudan UNIFOR telah diilhamkan oleh mantan Ketua Menteri ke-5 Sarawak Pehin Sri Tan Sri (Dr) Haji Adenan bin Haji Satem pada April 2017; inisiatif-inisiatif diteruskan oleh penggantinya Yang Amat Berhormat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg sehingga ke hari ini.
Obor perjuangan ketara sekali berkesinambungan, melambangkan kesatuan, kesepaduan dan keikhlasan dalam mencarta wawasan yang luhur dalam kalangan pucuk pimpinan atasan Kerajaan Sarawak.
Objektif utama penubuhan UNIFOR ialah untuk dijadikan saluran rasmi bagi badan-badan keagamaan bukan Islam untuk berhubung dengan Kerajaan.
Ia diperlukan untuk bertindak sebagai penghubung antara masyarakat Islam dan bukan Islam bagi mengeratkan lagi persefahaman dan keharmonian.
Jika berlaku sebarang konflik dan timbul isu-isu sensitif berkaitan hal ehwal bukan Islam, maka UNIFORlah wadah sebagai forum bagi perbincangan dan penyelesaian.
Berlandaskan visi seperti yang dinyatakan sedemikian, misi UNIFOR ialah untuk menyediakan bantuan dana dan sokongan kepada rumah ibadat agama-agama lain dan sekolah mubaligh serta menggalakkan keharmonian dalam masyarakat majmuk.
Segala ini dirumuskan sebagai manifestasi dasar keterangkuman (policy of inclusivity) Kerajaan Sarawak demi memastikan keperluan komuniti agama bukan Islam dipenuhi serta hak mereka dihormati.
Lembaga Amanah UNIFOR
Sebuah entiti berasingan yang merupakan badan bebas bukan kerajaan, disebut sebagai UNIFOR Charitable Trust (#UNIFORCT), diwujudkan sebagai sebuah Lembaga Amanah untuk menguruskan aset dan menerima sumbangan awam untuk aktiviti gereja, kuil, dan lain-lain di bawah naungan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Lembaga Amanah UNIFOR inilah yang mengurus aset Kompleks UNIFOR, yang merupakan pusat pertemuan untuk warga Sarawak daripada pelbagai latar belakang agama.
Kompleks UNIFOR di Jalan Ong Tiang Swee dimiliki oleh Lembaga Amanah UNIFOR, bukan dimiliki Kerajaan. Ia merupakan sebuah mercu tanda yang ikonik, dan berupaya mengungkapkan sebuah manifestasi bahawa Kerajaan Sarawaklah satu-satunya Kerajaan yang mempedulikan kebajikan setiap agama.
PCDS 2030
Walau apa pun rintangan dan cabaran perlu kita hadapi, keharmonian dalam kepelbagaian agama di Bumi Kenyalang ini pasti akan kental menjadi perisai ampuh bagi mempertahankan usaha kita mengorak langkah ke matlamat kemajuan dari generasi ke generasi pewaris kita nanti.