Betong Tuan Rumah Sambutan Hari Keputeraan Rasmi Agong Peringkat Sarawak 2026
BETONG: Bahagian Betong bakal menjadi tumpuan seluruh Sarawak apabila dipilih sebagai tuan rumah Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII Peringkat Sarawak 2026 yang akan berlangsung selama empat hari bermula 11 hingga 14 Jun depan.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan itu, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, sambutan tersebut bukan sahaja sebagai tanda penghormatan dan kesetiaan rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara, malah bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
“Ini adalah untuk menanamkan semangat patriotisme terhadap jasa dan kepimpinan tertinggi negara kita iaitu yang membawa keamanan, kemakmuran dan kesatuan rakyat di Malaysia dan khasnya kita di Sarawak ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Induk Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII Peringkat Sarawak 2026 Bil.2/2026 di Pejabat Residen Bahagian Betong pada Isnin.
Menurut beliau lagi, tujuh acara utama telah dirancang sepanjang sambutan tersebut bagi menghimpunkan masyarakat dalam suasana harmoni dan penuh semangat kenegaraan.
Antara acara utama ialah Pameran Raja Kita yang berlangsung dari 11 hingga 14 Jun di pekarangan Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan yang memaparkan sejarah serta peranan institusi Yang di-Pertuan Agong dalam sistem pemerintahan negara.
Turut diadakan ialah Betong Kitchen, festival makanan yang mengetengahkan pelbagai juadah tradisional dan tempatan sebagai usaha mempromosikan warisan kulinari masyarakat setempat.
Pada 12 Jun, khutbah khas sempena sambutan itu akan disampaikan di masjid-masjid seluruh Sarawak dengan pengisian berkaitan perpaduan, keharmonian dan ketaatan kepada pemimpin.
Sementara itu, pada 13 Jun akan berlangsung Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain (UNIFOR) di Dewan Panglima Rentap yang menghimpunkan wakil pelbagai agama sebagai simbol keharmonian masyarakat majmuk Sarawak.
Majlis tersebut dijadual disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Pada hari sama turut diadakan Majlis Kesyukuran di Masjid Jamek Betong yang akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Kemuncak sambutan pada 14 Jun akan diteruskan dengan Majlis Jamuan Teh di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan yang menghimpunkan pemimpin, penjawat awam dan masyarakat dalam suasana muhibah.
Pada sebelah malam pula, Konsert Rakyat akan menjadi acara penutup sambutan dengan persembahan artis tempatan dan popular tanah air, persembahan kebudayaan serta pertunjukan bunga api.
Turut hadir semasa sidang media ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh, Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak Datu Hamdan Sharbini serta Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas. -EDISI UKAS