2,566 Penerima di Semop Terima Agihan Daging Aidiladha
PULAU BRUIT: Seramai 2,566 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop menerima agihan daging lembu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha menerusi program penghantaran daging lembu yang dilaksanakan pada Isnin.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol berkata, program tersebut merupakan usaha berterusan bagi memastikan golongan yang memerlukan turut merasai kemeriahan sambutan Aidiladha di samping memperkukuh hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat.
“Pendekatan turun padang serta penyampaian bantuan secara terus kepada rakyat akan terus diberi keutamaan bagi memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terpelihara dan,” katanya.
Program berkenaan melibatkan penghantaran dan pengagihan sebanyak 5,200 kilogram daging lembu kepada penduduk di Zon Pulau Bruit dan Paloh membabitkan 17 kampung serta beberapa masjid dan surau di kawasan terbabit.
Bagi Zon Utara yang berpusat di Dewan Kampung Tekajong, pengagihan melibatkan tujuh kampung iaitu Kampung Bruit, Kampung Tekajong, Kampung Penipah, Kampung Salah Kecil, Kampung Betanak, Kampung Penibong dan Kampung Penuai dengan jumlah keseluruhan 1,542 pintu penerima.
Sementara itu, Zon Selatan yang berlangsung di Dewan Kampung Semop melibatkan lapan kampung iaitu Kampung Kut, Kampung Saai, Kampung Semop, Kampung Sebako, Kampung Sedi, Kampung Paloh, Kampung Kedang dan RGC Semop dengan jumlah keseluruhan 919 pintu penerima.
Di Dewan Kampung Serdeng pula, pengagihan melibatkan Kampung Sedo dan Kampung Serdeng dengan jumlah keseluruhan 105 pintu penerima.
Selain itu, pengagihan khas turut disalurkan kepada beberapa kumpulan penerima lain termasuk keluarga mualaf di Kelai, keluarga mualaf Bekerkong serta kakitangan Feri Batang Paloh.
Program pengagihan itu turut melibatkan penyelarasan pergerakan lori penghantaran ke beberapa lokasi utama bagi memastikan proses agihan berjalan lancar dan teratur di seluruh kawasan DUN Semop.-EDISI UKAS