Ibu Bapa Digesa Segera Mohon Kewarganegaraan Anak Sebelum Capai Usia 18 Tahun
KUCHING: Ibu bapa yang mempunyai anak yang belum memiliki taraf kewarganegaraan digesa segera mengemukakan permohonan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan sebelum anak mereka mencapai usia 18 tahun.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Fatimah Abdullah berkata, perubahan had umur permohonan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Jun ini perlu diberi perhatian serius oleh ibu bapa dan penjaga.
Menurut beliau, sebelum ini permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A dibenarkan bagi individu berumur sehingga 22 tahun, namun selepas tarikh tersebut hanya pemohon berumur 18 tahun ke bawah layak dipertimbangkan.
“Jangan tunggu terlalu lama kerana selepas usia 18 tahun, permohonan tidak lagi boleh dibuat di bawah Perkara 15A.
“Pemohon perlu melalui proses naturalisasi yang mengambil masa lebih panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) bagi permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan Negeri Sarawak Bilangan 3 Tahun 2026 di Bangunan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang, di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah turut memaklumkan bahawa JKKSK Sarawak terus memainkan peranan membantu memudah cara proses permohonan kewarganegaraan termasuk membuat verifikasi dan memberi khidmat nasihat kepada pemohon.
Menurutnya, sebanyak 95 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan telah dibentangkan dalam mesyuarat kali ketiga JKKSK bagi tahun 2026.
Daripada jumlah itu, beliau mendedahkan, sebanyak 52 permohonan melibatkan kategori anak tidak sah taraf, 38 anak jagaan dan lima anak angkat.
Tambahnya, secara keseluruhan sebanyak 409 permohonan kewarganegaraan telah dibentangkan dalam mesyuarat JKKSK Sarawak bagi tempoh 2024 hingga 25 Mei 2026.
Sementara itu, Dato Sri Fatimah telah menyampaikan sijil kewarganegaraan kepada seorang pemohon yang telah diluluskan kewarganegaraan Malaysia di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.
Seterusnya, beliau juga menyampaikan gantian kad pengenalan kepada lima orang pemohon yang telah diluluskan kemasukkan indikator ”K” ke dalam Kad Pengenalan mereka yang mana semua pemohon merupakan individu yang telah mendapat kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.-EDISI UKAS