UiTM Cawangan Sarawak Anjur Larian Legasi 70 Tahun FBM
KOTA SAMARAHAN, 25 Mei: Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FBM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak bakal menganjurkan The International Platinum Charity Effort Run (iPACE Run) 2026 pada 27 Jun depan.
Program yang bertemakan ‘FBM Homecoming Run: 70 Years of Legacy, United Again’ bakal diadakan di Pusat Pelajar, UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan bermula jam 6:30 pagi hingga 11:30 pagi.
Acara larian kompetitif sejauh 5 kilometer ini dianjurkan bersama Kelab Kakitangan UiTM Sarawak (Kelab KEKITA), Persatuan Wanita Universiti Teknologi MARA (PEWANI), UiTM Cawangan Sarawak, Persatuan Pesara UiTM Sarawak (PERASA) dan Swinburne University of Sarawak serta City Jogger’s Club sebagai rakan acara.
Acara ini mensasarkan sebanyak 280 peserta yang merangkumi alumni, pelajar, orang awam serta peserta antarabangsa daripada universiti swasta.
‘Carnival Booth’, aktiviti cabutan bertuah dan sesi aerobik bakal dilaksanaka dengan kerjasama persatuan pelajar FBM dan persatuan kakitangan UiTM Cawangan Sarawak.
Menurut Rektor UiTM Cawangan Sarawak Profesor Dr Firdaus Abdullah, larian ini bukanlah sekadar aktiviti riadah dan rekreasi semata-mata, sebaliknya turut menjadi platform pengukuhan silaturahim di antara universiti dan pihak komuniti.
“Justeru, saya menyeru kepadah seluruh warga kampus, alumni UiTM, pelajar antarabangsa dan orang awam untuk sama-sama memeriahkan lagi program ini,” katanya dalam sesi sidang media bagi program larian tersebut.
Yuran pendaftaran individu ditetapkan pada kadar RM45 untuk early bird dan RM50 bagi harga biasa. Bagi penyertaan kumpulan pula, kadar yuran ditetapkan sebanyak RM200 untuk 5 orang dan RM380 bagi 10 orang.
Setiap peserta bakal menerima kit penyertaan lengkap berisi baju-T, bib larian, pingat penamat serta makanan ringan, selain berpeluang memenangi hadiah menerusi aktiviti cabutan bertuah.
Penganjuran larian ini turut dijadikan sebagai platform pengenalan dan promosi awal kepada Majlis Makan Malam Alumni pada Oktober nanti. -EDISI UKAS