13 Individu Terima Cek Pampasan Tanah Projek Pusat Pentadbiran Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Seramai 13 individu menerima cek pampasan melibatkan tanah berhak milik bagi pelaksanaan Projek Pusat Pentadbiran Samarahan dalam satu majlis yang berlangsung di Pejabat Residen Bahagian Samarahan, pada Isnin.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pegawai Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang.
Dalam majlis tersebut, sebanyak enam lot tanah berkeluasan 4.1198 hektar telah diagihkan kepada penerima dengan jumlah keseluruhan pampasan bernilai RM3,719,203.20.
Secara keseluruhan, Projek Pusat Pentadbiran Samarahan melibatkan keluasan tanah sebanyak 55.9 hektar merangkumi tanah berhak milik seluas 13.4 hektar (lapan lot), tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) seluas 22.1205 hektar (84 lot) serta tanah kerajaan seluas 20.38 hektar (30 lot).
Pelaksanaan projek tersebut merupakan antara inisiatif pembangunan utama di Samarahan yang akan memperkukuh fungsi pentadbiran serta merancakkan pembangunan wilayah berkenaan. -EDISI UKAS