Tindakan Penguatkuasaan MBM Terhadap Aktiviti Jualan Durian Tanpa Lesen Ikut SOP Ditetapkan
MIRI: Tindakan penguatkuasaan diambil oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM) terhadap aktiviti jualan durian tanpa lesen di beberapa lokasi sekitar bandaraya ini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang menjelaskan, tindakan bukan bertujuan menindas peniaga kecil, sebaliknya bagi memastikan keadilan, keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara.
Menurut beliau, penguatkuasaan terpaksa dilaksanakan susulan aduan daripada peniaga berlesen serta isu keselamatan dan kesihatan awam yang timbul akibat aktiviti jualan tanpa kebenaran di kawasan awam dan komersial.
"Sebelum operasi dijalankan, MBM telah mengeluarkan dua kenyataan media rasmi masing-masing pada 25 Ogos 2025 dan 9 Januari 2026 bagi mengingatkan peniaga buah-buahan bermusim supaya menjalankan perniagaan hanya di lokasi yang diluluskan pihak Majlis.
"Selain itu, pegawai penguat kuasa turut mengeluarkan sebanyak 28 notis amaran serta lima kompaun sebelum tindakan sitaan dilaksanakan," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang di Dewan Bandaraya Miri pada Isnin bagi menjelaskan mengenai isu tersebut.
Turut hadir Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri, Ariffin Mohamad serta Pegawai Penguat Kuasa MBM, Iskandar Damaimi.
Jelas Adam Yii lagi, operasi penguatkuasaan yang dijalankan dari 13 hingga 15 Januari 2026 itu melibatkan seramai 13 peniaga.
Bagaimanapun, hanya seorang peniaga tampil menuntut semula barangan sitaan dengan membuat bayaran penalti yang ditetapkan.
Mengulas dakwaan yang tular di media sosial berhubung isu penyalahgunaan durian sitaan, Adam Yii menegaskan bahawa proses pelupusan barangan dilaksanakan secara telus serta direkodkan, termasuk melalui rakaman video.
"Orang awam yang ingin mendapatkan bukti pelupusan boleh mengemukakan permohonan rasmi kepada MBM selaras dengan prinsip ketelusan yang diamalkan pihak Majlis," tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa MBM memahami keperluan peniaga kecil atau peniaga kasual khususnya penduduk kampung yang menjual hasil durian dalam kuantiti kecil.
Sehubungan itu, pihak Majlis sedang mengenal pasti beberapa lokasi bersesuaian bagi membolehkan golongan tersebut menjalankan jualan secara lebih teratur.
Bagi peniaga berskala lebih besar, mereka digalakkan untuk beroperasi di tapak jualan buah-buahan bermusim yang telah disediakan di Stesen Bas Ekspres Lama, Pujut Corner, Miri sejak 1 Disember 2025.
Tapak tersebut mampu menempatkan kira-kira 50 unit kanopi bersaiz 10 kaki x 10 kaki dengan bayaran permit RM200 sebulan bagi setiap gerai.
Semua peniaga diwajibkan mendapatkan permit rasmi melalui Seksyen Kesihatan Awam MBM di UTC Miri serta mematuhi syarat kebersihan, keselamatan makanan, pengurusan sisa pepejal dan peraturan pihak berkuasa tempatan.
Beliau berharap orang awam dapat memahami pendekatan MBM dalam melaksanakan dasar serta penguatkuasaan demi menjadikan Miri sebuah bandaraya yang lebih teratur, selamat dan sejahtera.-EDISI UKAS