ADUN Muara Tuang Tinjau Keadaan Penduduk Kampung Sungai Mata Terjejas Bekalan Air
KOTA SAMARAHAN: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Haji Idris Buang turun padang bagi meninjau sendiri permasalahan berkaitan gangguan bekalan air yang dihadapi penduduk Kampung Sungai Mata di sini, malam Isnin.
Lawatan berkenaan memberi ruang kepada Dato’ Idris untuk mendapatkan maklumat secara langsung daripada penduduk kampung mengenai situasi sebenar di lapangan, selain mendengar rungutan serta cadangan berhubung isu bekalan air yang telah berlarutan.
Menurut beliau, pendekatan turun padang amat penting bagi memastikan setiap isu rakyat dapat dikenal pasti dengan lebih tepat sebelum sebarang tindakan susulan dilaksanakan oleh pihak berkaitan.
“Bekalan air merupakan keperluan asas rakyat. Oleh itu, saya hadir sendiri ke Kampung Sungai Mata bagi melihat keadaan sebenar serta mendengar pandangan penduduk supaya langkah penyelesaian yang diambil nanti lebih berkesan dan bersesuaian dengan keperluan setempat,” katanya.
Dalam sesi pertemuan tersebut, penduduk membangkitkan beberapa isu utama antaranya tekanan air yang rendah, gangguan bekalan secara berkala serta kesukaran mendapatkan bekalan air bersih terutamanya pada waktu puncak.
Situasi itu bukan sahaja menyukarkan urusan harian penduduk, malah turut memberi kesan terhadap aspek kebersihan, kesihatan serta aktiviti ekonomi berskala kecil di kampung berkenaan.
Dato’ Idris memaklumkan bahawa semua maklum balas yang diterima akan dibawa ke perhatian pihak berkuasa bekalan air serta agensi teknikal berkaitan untuk tindakan lanjut. Beliau turut memberi jaminan bahawa isu tersebut akan terus dipantau sehingga penyelesaian jangka panjang dapat dilaksanakan.
Lawatan itu mencerminkan keprihatinan berterusan wakil rakyat terhadap kebajikan penduduk, selaras dengan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan kemudahan asas, khususnya bekalan air bersih, dapat disalurkan secara berterusan dan saksama kepada rakyat.
Penduduk Kampung Sungai Mata turut menzahirkan penghargaan atas kesediaan Dato’ Idris turun padang dan mendengar sendiri permasalahan mereka, sekali gus menaruh harapan agar isu bekalan air yang dihadapi dapat diselesaikan dalam masa terdekat.-EDISI UKAS