SARATOK: Projek Jambatan Sungai Krian yang merupakan sebahagian daripada pembangunan Jalan Pesisir Sarawak dijangka siap sepenuhnya dan boleh digunakan oleh orang ramai menjelang Mac depan.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek bernilai kira-kira RM1.25 juta menjadi jambatan kesembilan yang disasarkan siap pada tahun ini.
“Pembinaan jambatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh jaringan perhubungan luar bandar, khususnya di kawasan pesisir.
“Jambatan Sungai Krian sepanjang 1.2 kilometer termasuk jajaran jalan berfungsi sebagai penghubung utama antara Daerah Pusa dan Daerah Kabong, sekali gus memudahkan pergerakan harian penduduk serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan projek penyambungan struktur Jambatan Sungai Krian di sini, pada Selasa.
Datuk Amar Douglas menambah, kemudahan infrastruktur yang lebih baik bukan sahaja meningkatkan aksesibiliti, malah membuka lebih banyak peluang pembangunan sosioekonomi kepada penduduk luar bandar.
Majlis perasmian tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Mato Dato Razaili Gapor, ADUN Kalaka Mohamad Duri, ADUN Krian Friday Belik, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datu Chiew Chee Yau, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Datu Ir Dr Cassidy Morris serta ketua-ketua masyarakat dari Daerah Pusa, Kabong dan Saratok.-EDISI UKAS