RM4.07 Juta Pampasan Tanah Projek Jalan Musi–Buso Disalurkan
BAU: Kerajaan Sarawak meneruskan komitmen memastikan kebajikan pemilik tanah terpelihara apabila sebanyak RM4.07 juta pampasan tanah bagi projek menaik taraf Jalan Musi–Buso, Bau.
Majlis penyerahan cek pampasan tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Tasik Biru di sini, semalam.
Sementara itu, Datuk Henry merakamkan penghargaan kepada Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Kuching atas usaha berterusan dalam memastikan proses penyediaan dan penyerahan pampasan dapat dilaksanakan secara teratur serta lancar.
Menurut beliau, penyerahan pampasan lebih RM4 juta ini merupakan peringkat awal, manakala baki pampasan yang dianggarkan berjumlah lebih RM7 juta sedang dalam proses dan dijangka dapat diserahkan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pemilik tanah yang terlibat atas kerjasama penuh yang diberikan sejak awal pelaksanaan projek, sekali gus membolehkan kerja menaiktaraf jalan dimulakan lebih awal.
Tambah beliau, kerajaan menyasarkan projek tersebut dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh kira-kira dua tahun, tertakluk kepada keadaan semasa.
Sementara itu, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Kuching, Awang Nazri Awang Saperi berkata, projek berkenaan melibatkan 45 lot tanah berhak milik dengan keluasan keseluruhan 6.6075 hektar.
Beliau berkata, fasa pertama pampasan melibatkan bayaran berjumlah RM4,070,679.70 dan telah diserahkan kepada 78 orang penerima yang terlibat.
“Projek menaiktaraf Jalan Musi–Buso ini telah diluluskan oleh State Planning Authority pada 23 November 2023, dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bertindak sebagai agensi pelaksana,” jelasnya.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah wakil Pegawai Daerah Bau, Saffikan Kueh, Setiausaha Majlis Daerah Bau, Ong Chin Ping serta Temenggong Masyarakat Bidayuh Bahagian Kuching, Temenggong Atok Derop.-EDISI UKAS