MBM Ambil Tindakan Segera Elak Insiden Kemalangan di Pavilion Taman Awam Miri Berulang
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) mengambil tindakan segera dan proaktif susulan insiden kemalangan yang berlaku di Pavilion, Taman Awam Miri baru-baru ini, yang mengakibatkan seorang individu mengalami kecederaan selepas terpijak papan kayu yang patah.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, MBM memandang serius kejadian tersebut dan telah melaksanakan pemeriksaan menyeluruh ke atas struktur kayu lain di kawasan berkenaan sebaik sahaja menerima laporan, termasuk pelaksanaan langkah-langkah mitigasi bagi memastikan keselamatan pengunjung serta mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.
“Langkah pantas ini mencerminkan komitmen MBM dalam memastikan semua kemudahan awam di bawah seliaannya berada dalam keadaan selamat, terpelihara dan mesra pengguna, selaras dengan keutamaan kesejahteraan masyarakat bandaraya Miri,” katanya dalam sidang media di Bangunan Majlis Bandaraya Miri pada Isnin.
Sehubungan itu katanya, individu yang terlibat dalam insiden berkenaan boleh mengemukakan tuntutan di bawah Perlindungan Liabiliti Awam Pihak Ketiga kepada Majlis Bandaraya Miri, tertakluk kepada pematuhan prosedur serta polisi yang ditetapkan.
Bagi tujuan tuntutan, pihak terlibat perlu mengemukakan beberapa dokumen sokongan termasuk surat tuntutan, gambar kejadian dan kecederaan yang dialami, bil perubatan, salinan kad pengenalan serta laporan polis. Semua tuntutan akan dinilai dengan teliti mengikut prosedur sedia ada serta skop perlindungan polisi yang berkuat kuasa.
Tambah Adam Yii lagi, pemantauan berkala terhadap kemudahan awam akan terus diperkukuh bagi menjamin keselamatan pengguna serta mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap pengurusan dan penyelenggaraan infrastruktur awam di bandaraya Miri.-EDISI UKAS