Infrastruktur Dipertingkat, Penduduk Kampung Saujana Harap Banjir Tidak Berulang
SIBU: Penduduk Lorong Saujana 1C, Kampung Saujana, Jerrwit meluahkan rasa lega apabila jalan di kawasan itu yang sering dilanda banjir akhirnya dinaik taraf oleh Majlis Perbandaran Sibu (MPS) sebagai langkah menangani masalah banjir yang berulang setiap kali hujan lebat.
Seorang penduduk, Othman Sahdan, 63, merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa tempatan atas usaha menaik taraf jalan berkenaan yang sebelum ini kerap dinaiki air sehingga menyukarkan pergerakan harian penduduk.
“Dahulu, setiap kali hujan lebat kawasan ini mudah dinaiki air dan menyukarkan kami untuk keluar masuk rumah. Kini keadaan dijangka menjadi jauh lebih baik selepas kerja naik taraf dilaksanakan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa paras jalan yang dinaik taraf masih lebih rendah berbanding paras air banjir sebelum ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan kejadian banjir boleh berulang sekiranya hujan lebat berterusan.
“Walaupun jalan sudah dinaik taraf, paras air banjir sebelum ini sebenarnya lebih tinggi daripada paras jalan yang ada sekarang. Kami bimbang air masih boleh melimpahi jalan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkaitan dapat mempertimbangkan untuk meninggikan lagi jalan berkenaan serta menambah baik sistem perparitan sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan masalah banjir dapat diselesaikan secara menyeluruh.
Dalam perkembangan berkaitan, Pegawai Daerah Sibu, Tsong Chow Choon, bersama agensi terlibat telah mengadakan lawatan ke rumah-rumah mangsa banjir pada Rabu lalu bagi menilai tahap kerosakan serta keperluan segera penduduk yang terjejas.
Sementara itu, sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Mutiara Ilmu, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Assek telah dibuka pada 11 Januari lalu bagi menempatkan enam mangsa daripada sebuah keluarga susulan kejadian banjir di sekitar kawasan Sentosa.
Usaha penambahbaikan infrastruktur di Kampung Saujana Jerrwit diharap dapat diteruskan demi menjamin keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat. - EDISI UKAS