Projek Anjung Usahawan Belawai Mula Dibina, Pacu Pembangunan Ekonomi Setempat
BELAWAI: Projek Anjung Usahawan Belawai di bawah peruntukan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) kini secara rasmi memasuki fasa pembinaan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam merancakkan pembangunan ekonomi luar bandar.
Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) selaku agensi pelaksana telah menyerahkan tapak projek kepada kontraktor utama, Kyo Sinar Sdn Bhd, bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan dimulakan mengikut jadual yang ditetapkan.
Projek berimpak tinggi ini melibatkan kos siling RM8 juta dengan tempoh pembinaan selama 15 bulan, bermula 29 Disember 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada 28 Mac 2027.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh, berkata projek ini merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan menyeluruh bagi memastikan kawasan luar bandar, khususnya Belawai, tidak tercicir daripada arus kemajuan.
Menurut beliau, antara objektif utama Projek Anjung Usahawan Belawai adalah untuk meningkatkan taraf ekonomi kira-kira 5,500 penduduk setempat, di samping meletakkan asas kukuh ke arah potensi Belawai sebagai sebuah bandar baharu pada masa hadapan.
“Projek ini bukan sahaja menyediakan kemudahan infrastruktur yang tersusun, malah membuka peluang kepada penduduk tempatan untuk memiliki dan mengusahakan 14 unit premis perniagaan pada kadar sewaan berpatutan, memandangkan kos infrastruktur ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya.
Beliau menambah, inisiatif ini selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk membina komuniti usahawan Bumiputera yang berdaya saing, mampan dan berdaya tahan, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi serta manfaat sosial yang menyeluruh demi kesejahteraan rakyat di kawasan Kuala Rajang dan seluruh Sarawak. - EDISI UKAS