Semua Projek RTP Di Kawasan Meradong Akan Terus Dipantau Secara Berkala
MERADONG: Semua projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Meradong akan terus dipantau secara berkala bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya sektor pendidikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing menegaskan, institusi pendidikan perlu diberikan perhatian khusus melalui program pembangunan kecil seperti RTP bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat, selesa dan kondusif untuk para pelajar.
“Pemantauan berterusan akan memastikan projek RTP bukan sahaja siap mengikut jadual, malah memberi impak sebenar kepada warga sekolah dan komuniti setempat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan awal tinjauan tapak Projek RTP melibatkan kerja-kerja pendawaian semula bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yong Cheng, di sini, pada Isnin.
Lawatan tersebut bertujuan menilai keperluan teknikal serta skop pelaksanaan projek yang dicadangkan dengan kos RM50,000, bagi menggantikan sistem pendawaian lama di bilik-bilik darjah sekolah berkenaan.
Datuk Ding menambah, projek ini merupakan antara inisiatif pembangunan di bawah peruntukan RTP Meradong yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan warga sekolah dan komuniti setempat.
Menurut maklumat awal, sistem pendawaian sedia ada telah digunakan dalam tempoh yang panjang dan memerlukan penggantian bagi mengurangkan risiko keselamatan serta meningkatkan keselesaan pembelajaran.
Skop kerja merangkumi pemasangan wayar baharu, lampu dan kipas supaya keperluan asas elektrik berada dalam keadaan baik, selamat dan menepati spesifikasi teknikal semasa.
Sementara itu, pihak sekolah menyambut baik pelaksanaan projek ini kerana ia mampu memberi nilai tambah kepada infrastruktur sekolah serta membantu menangani isu penyelenggaraan fasiliti yang semakin meningkat.
Turut hadir ialah wakil Residen Sarikei, Sing Ming Shyang, wakil Pejabat Daerah Meradong, Ting Kai Siang, serta Penolong Jurutera JKR Sarikei, Harith selaku agensi pelaksana projek. - EDISI UKAS