APM Lubok Antu Laksana Tanggungjawab Murni Bantu Warga Emas
LUBOK ANTU: Peranan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sering dikaitkan dengan pengendalian bencana alam seperti banjir, tanah runtuh serta kemalangan jalan raya.
Namun, tanggapan itu tidak sepenuhnya tepat kerana APM turut melaksanakan tanggungjawab murni membantu penduduk yang berdepan kecemasan kesihatan di kediaman masing-masing.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Lubok Antu, Leftenan (PA) Desem Samuel berkata, peranan tersebut terbukti apabila APM Daerah Lubok Antu membantu seorang wanita warga emas dari Rumah Lenja, Sekandis Kersit di sini yang mengalami masalah kesihatan.
Menurutnya, pihak APM menerima panggilan kecemasan daripada seorang pengadu pada jam 11.20 pagi semalam yang memaklumkan ibunya, Gulang Sangir, 94, mengalami kelemahan seluruh anggota badan dan memerlukan bantuan penghantaran ke klinik.
“Bertindak atas panggilan itu, seramai tiga anggota APM telah dikerahkan ke Sekandis Kersit bagi memberikan bantuan,” katanya.
Setibanya di lokasi, anggota APM memberikan bantuan perubatan awal sebelum membawa wanita warga emas tersebut menyeberangi jambatan gantung menggunakan kerusi roda ke ambulans jambatan.
Beliau berkata, wanita terbabit kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Merindun dan diserahkan kepada kakitangan perubatan untuk rawatan lanjut.
“Untuk makluman, peranan APM bukan sahaja tertumpu kepada pengurusan bencana, malah turut merangkumi khidmat bantuan penghantaran pesakit dari penempatan ke klinik atau hospital.
“Sehubungan itu, orang ramai di kawasan Lubok Antu yang memerlukan perkhidmatan kecemasan atau bantuan bencana boleh menghubungi APM di talian 083-584639 atau talian kecemasan 999,” katanya.-EDISI UKAS