Pewartaan Dan Pengeluaran Surat Hak Milik Pertahan Hak Tanah NCR
KAPIT: Kerajaan Sarawak terus komited memastikan hak dan kepentingan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) diiktiraf, dilindungi dan dipelihara menerusi pelaksanaan pengukuran, pewartaan serta pengeluaran surat hak milik tanah kepada pemilik yang layak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-undang Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata, kerjasama erat antara pemilik tanah, komuniti rumah panjang, ketua masyarakat, ketua kaum dan tuai rumah penting bagi memastikan proses pengukuran tanah NCR dapat dilaksanakan dengan lancar serta mengelakkan pertikaian.
“Tanah yang telah menerima Warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak digalakkan untuk didokumentasikan dan disukat bagi membolehkan pemilik individu memperoleh Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak serta Cek Dana Amanah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Dewan Masyarakat Melayu Kapit, Kampung Muhibbah, pada Rabu.
Menurut beliau, program pengukuran tanah NCR Inisiatif Baharu telah dilaksanakan sejak 2010 dan melibatkan dua peringkat, iaitu pengukuran perimeter kawasan NCR serta pengukuran tanah milik individu.
Jelasnya, kawasan yang mempunyai pertikaian atau kes mahkamah akan ditangguhkan proses pengukurannya sehingga kes berkenaan diselesaikan atau ditarik balik.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 65 lot di Sungai Menuan, Batang Rajang telah disukat melibatkan keluasan 152.43 hektar, dengan 49 individu menerima Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18.
Beliau turut menjelaskan bahawa antara manfaat Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 ialah tiada cukai tahunan, tiada premium tanah, kos penyukatan percuma, tiada tempoh tamat, mempunyai nilai pasaran serta memberikan jaminan pemilikan yang lebih kukuh.
Pada majlis sama, sumbangan CSR berjumlah RM22,000 turut disampaikan, masing-masing sebanyak RM10,000 kepada Sekolah Kebangsaan Nanga Yong dan RM12,000 kepada Masjid Jamek Kampung Baru, Kapit bagi menyokong keperluan komuniti setempat.-EDISI UKAS