TikTok Challenge Buka Ruang Anak Sarawak Berkarya, Tampil Dengan Mesej Perpaduan
KUCHING: Pertandingan TikTok Challenge sempena Hari Malaysia 2026 bukan sekadar medan mempertandingkan kreativiti kandungan digital, malah membuka ruang kepada peserta dari pelbagai latar belakang untuk mencuba sesuatu yang baharu, menimba pengalaman dan menyampaikan mesej kepada masyarakat.
Bagi pemenang kategori sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram II, penyertaan dalam pertandingan anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) turut menjadi pengalaman istimewa apabila membawa tiga murid dari Miri ke Kuching buat pertama kali.
Guru pengiring, Cikgu Muhamad Saifulah berkata, peluang menyertai pertandingan berkenaan memberi pengalaman baharu kepada murid yang tinggal di kawasan pinggir bandar, selain membuka ruang untuk mereka mengenali suasana dan pengalaman di luar kawasan tempat tinggal.
“Kami rasa teruja sebab ini peluang untuk membawa murid datang ke Kuching.
"Mereka semua ini orang Miri dan tinggal di kawasan pinggir bandar, malah ini merupakan kali pertama mereka datang ke Kuching,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan itu, di sini pada Rabu.
Menurutnya, pencapaian tersebut juga diharap menjadi contoh kepada sekolah lain untuk berani mengambil peluang menyertai pertandingan kreatif yang dianjurkan UKAS.
Sementara itu, pelajar Kolej Vokasional Miri, Eton Matan yang berasal dari Long San, Baram, menyifatkan kemenangan dalam pertandingan tersebut sebagai pengalaman pertama yang membuka peluang untuk dirinya mempelajari sesuatu yang baharu.
Beliau berkata, penglibatannya bermula selepas melihat hebahan mengenai pertandingan TikTok sebelum mengambil keputusan untuk mencuba.
Lebih penting, katanya, video yang dihasilkan membawa mesej mengenai kepentingan saling bertoleransi dan mengelakkan perpecahan antara kaum.
“Saya bangga sebab ini kali pertama saya naik ke pentas dan dapat belajar sesuatu yang baharu,” katanya.
Bagi pencipta kandungan dari Kota Samarahan, Erdy Arfizzi Suhardi pula, kemenangan itu hadir bersama satu detik bermakna apabila isterinya baru melahirkan anak kira-kira 10 hari sebelum pertandingan.
Beliau menyifatkan kemenangan tersebut sebagai rezeki yang hadir pada waktu istimewa buat keluarganya.
Menurut Erdy, minat menghasilkan video sememangnya menjadi pendorong utama untuk menyertai pertandingan berkenaan, selain melihat perkembangan dan kemajuan Sarawak sebagai sumber inspirasi kepada golongan muda.
“Sebagai anak muda, kami menyaksikan kemajuan Sarawak dan perkara itu menjadi inspirasi kepada kami,” katanya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai agar tidak melepaskan peluang menyertai program atau pertandingan yang dianjurkan UKAS kerana ia bukan sahaja memberi pengalaman, malah membuka ruang kepada pencipta kandungan untuk mencabar kemampuan diri.
Katanya, sekiranya diberi peluang menyertai pertandingan pada masa akan datang, beliau mahu menghasilkan karya yang lebih baik dengan memanfaatkan perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Saban tahun, teknologi semakin berkembang, terutama AI. Jadi, kami akan cabar diri untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik,” katanya.
Ketiga-tiga juara menerima wang tunai RM3,000, sijil, plak, mock cheque dan barangan daripada Affin Bank manakala Erdy Azezy turut menerima perlindungan takaful kemalangan diri bernilai RM100,000 daripada Agro Bank. -EDISI UKAS