PIBU Beluru Dirasmi, Lonjak Keusahawanan Luar Bandar Sarawak
BELURU: Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan (PIBU) Beluru dirasmikan sebagai usaha berterusan Kerajaan Sarawak memperkukuh agenda pembangunan sosio-ekonomi luar bandar serta memperluas ekosistem sokongan keusahawanan tempatan.
Perasmian PIBU Beluru yang merupakan pusat ke-25 diwujudkan di seluruh negeri, disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Penguang Manggil, di sini, pada Isnin yang turut disertai pelancaran Kursus Pembangunan Kontraktor dan Usahawan Berkualiti dan Berdaya Saing.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi itu, penubuhan PIBU Beluru merupakan langkah strategik dan signifikan dalam memperkasa komuniti luar bandar, khususnya bagi membangunkan potensi keusahawanan masyarakat setempat secara lebih tersusun dan mampan.
“PIBU Beluru akan berperanan sebagai pusat sokongan keusahawanan dengan menyediakan alamat pendaftaran perniagaan, khidmat nasihat serta bimbingan, selain berfungsi sebagai hab rangkaian yang menghubungkan usahawan tempatan dengan agensi kerajaan dan sektor swasta.
“Inisiatif tersebut turut bertujuan memastikan lebih ramai usahawan luar bandar berdaftar secara sah sekali gus membolehkan mereka mengakses pelbagai bantuan, geran dan skim pembiayaan yang disediakan Kerajaan,” ujarnya dalam ucapan.
Seiring pelaksanaan PIBU, Kursus Pembangunan Kontraktor dan Usahawan Berkualiti dan Berdaya Saing yang dilancarkan dilihat amat relevan dalam mendepani cabaran ekonomi semasa, khususnya dalam meningkatkan tahap profesionalisme pemain industri tempatan.
Kursus tersebut bertujuan memperkukuh pengetahuan, kemahiran pengurusan, kecekapan kewangan serta amalan beretika dalam kalangan kontraktor dan usahawan tempatan agar mampu melaksanakan projek dengan lebih berkesan dan menepati standard kualiti.
Datuk Dr Penguang turut menyuarakan keyakinan bahawa PIBU Beluru berpotensi menjadi pemangkin kepada peningkatan pendapatan isi rumah, pembukaan peluang pekerjaan baharu khususnya kepada golongan belia, serta melahirkan usahawan tempatan yang mampu mengharumkan nama Beluru di peringkat nasional dan antarabangsa.
Beliau mengakhiri ucapannya dengan menyeru para peserta kursus, usahawan dan kontraktor agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan melalui PIBU Beluru serta terus berusaha, menimba ilmu dan berinovasi demi kemajuan bersama.-EDISI UKAS