MUKAH: Komitmen Kerajaan Sarawak dalam melindungi dan mengiktiraf hak milik Tanah Adat Bumiputera (NCR) terus diperkukuh menerusi pelaksanaan program penyukatan tanah serta pembangunan Skim Pembesaran Kampung (SPK) yang memberi manfaat langsung kepada rakyat luar bandar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, program penyukatan tanah NCR yang dilaksanakan sejak 2010 bertujuan memastikan pemilik tanah memperoleh pengiktirafan sah di sisi undang-undang, sekali gus mengelakkan pertikaian hak milik pada masa hadapan.
Menurut beliau, penyukatan tanah NCR dilaksanakan secara berperingkat melalui penyukatan perimeter di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak, diikuti penyukatan secara individu di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.
“Penduduk yang berminat boleh mengemukakan permohonan kepada Jabatan Tanah dan Survei.
“Selepas penyukatan perimeter selesai dan tanah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera, pemilik boleh meneruskan permohonan penyukatan individu bagi mendapatkan surat hak milik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak di Dewan Serbaguna CENTEXS Mukah, di sini, pada Selasa.
Datuk Amar Awang Tengah menegaskan bahawa keseluruhan kos pelaksanaan program penyukatan tanah NCR ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak, dengan peruntukan melebihi RM40 juta setakat ini dan anggaran perbelanjaan tahunan sekitar RM30 juta.
Jelasnya, bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program di seluruh negeri, kerajaan turut menambah seramai 467 pegawai lapangan Jabatan Tanah dan Survei.
Namun demikian, beliau memaklumkan pemohon yang terlibat dalam kes pertikaian di mahkamah perlu menarik balik kes masing-masing sebelum menyertai program penyukatan tanah tersebut.
Beliau mendedahkan sebanyak 1.2 juta hektar tanah NCR telah disukat secara perimeter sejak 2010, dengan lebih 900,000 hektar daripadanya berjaya diwartakan sebagai pemilikan sah.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Skim Pembesaran Kampung (SPK) Tellian Tengah Fasa 1 yang melibatkan sebanyak 168 lot, sebagai sebahagian usaha kerajaan meningkatkan kualiti penempatan dan kesejahteraan penduduk di DUN Tellian.
Hadir sama Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood serta Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Mukah Dahari Anis.-EDISI UKAS