Warga Akademik Perlu Proaktif Hadapi Transformasi Pendidikan Negara
BINTANGOR: Warga akademik khususnya institusi latihan perguruan perlu sentiasa bersedia, inovatif dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pendidikan negara selaras pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 dan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kesiapsiagaan tersebut amat penting bagi memastikan institusi pendidikan terus relevan dalam mendepani cabaran Pendidikan 4.0.
“Usaha ini juga penting bagi melahirkan guru pelatih yang kompeten, relevan dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Jamuan Hari Guru anjuran Kelab Pensyarah 2026/2028 Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang di Paramount Hotel Sibu pada Sabtu.
Dalam perkembangan lain, menurut Datuk Ding, IPG Kampus Rajang memiliki sejarah tersendiri sebagai simbol kerjasama antarabangsa menerusi Rancangan Colombo antara Malaysia dan New Zealand sejak tahun 1966.
Katanya, nilai kecemerlangan, kualiti dan daya tahan yang sinonim dengan semangat “New Zealand” perlu terus diperkasakan seiring slogan “Agi Idup, Agi Ngelaban” dalam usaha memperkukuh institusi pendidikan guru di negeri ini.
“IPG Kampus bukan sahaja warisan kecemerlangan tebing Sungai Rajang, malah memainkan peranan penting dalam melahirkan guru berkualiti yang cemerlang dalam pedagogi, bersahsiah tinggi dan mampu menjadi suri teladan kepada masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan tema Hari Guru tajun ini, “Guru Bitara, Nadi Negara” membawa mesej signifikan mengenai peranan guru yang bukan sekadar menjadi penyampai ilmu, malah contoh unggul dari segi keteladanan, profesionalisme dan integriti sebagai penggerak utama pendidikan negara.-EDISI UKAS