Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Betong Tingkat Kesedaran Pengguna
BETONG: Pejabat Daerah Betong dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan Sarawak telah menganjurkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Bahagian Betong pada Jumaat melibatkan dua lokasi utama iaitu Rumah Panjang Engkeranji, Layar dan Lebuhraya Pan Borneo berhadapan PETRONAS Layar.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, program tersebut diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan jalan raya menjelang musim perayaan.
Menurutnya, masyarakat perlu sentiasa mengutamakan keselamatan jalan raya walaupun teruja pulang menyambut perayaan bersama keluarga.
“Pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, lesen memandu masih sah dan rancang perjalanan dengan teliti bagi mengelakkan kemalangan sepanjang musim perayaan,” katanya kepada media ketika menyempurnakan program berkenaan pada Jumaat.
Pengisian program turut diisi dengan ceramah keselamatan dan kesedaran awam oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia.
Hadir sama ialah Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas, Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh serta wakil daripada Kementerian Pengangkutan Sarawak, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia. -EDISI UKAS