RM700,000 Geran MRP Disalur Kepada 67 Penerima Di DUN Pakan
PAKAN: Penyaluran geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM700,000 kepada 67 penerima di kawasan Pakan membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu komuniti di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, penerima terdiri daripada pelbagai persatuan, Biro Wanita Rumah Panjang serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial dan komuniti setempat.
Menurutnya, bantuan yang disalurkan bagi bulan Mei itu diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya, khususnya untuk melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan menjelang sambutan Hari Gawai tidak lama lagi.
“Peruntukan ini perlu digunakan secara terancang supaya manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran MRP yang berlangsung di Bilik Serbaguna Pejabat Daerah Pakan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Tan Sri William Mawan turut mengingatkan semua penerima supaya menyegerakan proses penunaian cek bagi memastikan pelaksanaan program yang telah dirancang dapat dijalankan tanpa sebarang kelewatan.-EDISI UKAS