KUALA LUMPUR: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyuntik sokongan moral kepada pasukan Kuching City FC (KCFC) dengan turut hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2025/2026 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini.
Beliau yang selesai merasmikan program Sarawakku Sayang Bahagian Bintulu pagi tadi tiba di Stadium Nasional Bukit Jalil kira-kira jam 8.45 malam.
Ketibaan Premier Sarawak disambut oleh Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri, Timbalan Menteri Kesihatan Dato Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah Datuk Rubiah Wang dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Presiden KCFC Dato Fazzrudin Abdul Rahman.
Turut hadir Menteri Besar Johor Dato Onn Hafiz Ghazi serta barisan pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL).
Kehadiran Datuk Patinggi Abang Zohari dan barisan pemimpin kerajaan negeri menggamatkan sorakan kira-kira lebih 20,000 penyokong KCFC yang memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil sejak jam 5 petang tadi.
Perlawanan di antara KCFC dan JDT bermula pada jam 9 malam dengan kedudukan semasa masih tanpa jaringan.
KCFC sedang berada di landasan terbaik untuk mencipta sejarah tersendiri membawa trofi kejuaraan berprestij itu menyeberangi Laut China Selatan jika berjaya menang pada malam ini. - EDISI UKAS