Kerajaan Sarawak Komited Bangunkan Luar Bandar, SPK Tellian Tengah Fasa 1 Dilaksanakan
MUKAH: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan luar bandar menerusi pelaksanaan Skim Pembesaran Kampung (SPK) Tellian Tengah Fasa 1 dengan peruntukan berjumlah RM30 juta di bawah inisiatif Projek Rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan luar bandar.
"Projek SPK Tellian Tengah Fasa 1 ini merupakan antara projek terawal yang diluluskan pada tahun pertama saya sebagai wakil rakyat.
"Kelulusannya telah diumumkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika ucapan penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak empat tahun lalu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Skim Pembesaran Kampung (SPK) Tellian Tengah Fasa 1 serta Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak di Dewan Serbaguna CENTEXS Mukah, pada Selasa.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Royston menegaskan bahawa pelaksanaan projek ini membuktikan Kerajaan Sarawak bukan sahaja merangka dasar, malah melaksanakannya secara berterusan sehingga memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan beberapa projek pembangunan berimpak tinggi lain turut diluluskan dan bakal dilaksanakan di kawasan DUN Tellian, antaranya projek Waterfront Mukah serta projek Benteng Hakisan Sungai Tellian dan Sungai Penakub dengan peruntukan keseluruhan RM40 juta yang dijangka bermula tahun ini.
Selain itu, projek di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) turut dirancang termasuk pembinaan Mukah Integrated Market, Medan Selera Kala Dana Mukah, Anjung Ria Senaga serta Benteng Hakisan Pantai Kuala Petanak.
Mengulas perkara lain, beliau berkata pembangunan infrastruktur asas seperti bekalan air terawat, bekalan elektrik dan pembinaan jalan raya yang menghubungkan kawasan pedalaman termasuk Nanga Baoh, Ulu Baoh, kawasan seberang Bukit Inkerbai serta Lubok Bemban terus menjadi keutamaan kerajaan negeri.
“Segala perancangan dan pelaksanaan projek ini adalah demi kesejahteraan rakyat Sarawak secara keseluruhannya dan selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030,” katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood serta Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Mukah Dahari Anis.-EDISI UKAS